Para peserta Kursus Pra-Perkahwinan
Oleh Annie Julianus
Sep 5 2022
PAPAR – Pada 12 dan 13 Ogos 2022 Komiti Keluarga Katolik Gereja Holy Rosary Limbahau, Papar mengadakan Kursus Pra-perkahwinan Siri Ke-2 bagi Tahun 2022.
Sebelum kursus ini, beberapa aktiviti lain dijalankan iaitu Doa Rosary dan Doa Kerahiman Ilahi dijalankan oleh Ahli Jawatankuasa Pelaksana, dipimpin oleh Nancy Jini pada 8-10 Ogos dan keesokannya pula diadakan gotong-royong bagi persediaan tempat kursus di Dewan Fr Augustine Amandus yang melibatkan Komiti Keluarga Katolik.
Pendaftaran bagi Kursus Pra-Perkahwinan bermula jam 1 petang pada 12 Ogos di mana seramai 50 pasangan telah mengikuti kursus ini. Program dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab yang dipimpin oleh Fr Thomas Yip selaku Paderi Paroki Holy Rosary Limbahau, Papar.
Antara pengisian ceramah disepanjang kursus adalah “Perkahwinan Menurut Rencana Tuhan” yang disampaikan oleh Fr Thomas Yip, “Kasih Sayang dan Seks” bahagian pertama (teologi tubuh) di sampaikan oleh Dominic Lim manakala bahagian keduanya pula mengenai penyakit-penyakit berjangkit telah di sampaikan oleh Dr Rovina Ginibun.
Tajuk-tajuk ceramah yang lain seperti “Berkomunikasi dalam perkahwinan”, “Kaedah perancangan keluarga secara semulajadi”, “Ekonomi dalam keluarga menurut Alkitab”, “Tanggungjawab ibubapa Kristian dalam keluarga” masing-masing di sampaikan oleh Felix Sumpongol, Dr Rovina Ginibun, Sylvester Joseph dan Clifferson Felix.
Kursus ini pada keseluruhannya berjalan dengan lancar dan mendapat penglibatan aktif daripada peserta terutama dalam sesi soal-jawab yang dikendalikan oleh Fr Thomas Yip.