Fr Lazorus Uhin semasa Misa Pengangkatan Bonda Maria ke Syurga di Gereja St Yohanes Penginjil Panui pada 15 Ogos
Oleh KUK Panui
Aug 26 2022
KENINGAU – Sempena dengan Pesta Pengangkatan Bonda Maria ke Syurga, Legion of Mary Komuniti Umat Katolik (KUK) St Yohanes Penginjil Panui bersama umat telah bersama-sama menjalani Ziarah Statue Bonda Maria (ZSBM) bermula pada 1 Ogos 2022 lepas. Ziarah ini merupakan program tahunan KUK St Yohanes Penginjil Panui sejak 2018 lagi namun terhenti selama dua tahun disebabkan pandemik.
Dalam ziarah itu, umat dalam Komuniti Kristian Dasar (KKD) akan berkumpul di dalam sebuah rumah yang telah dipilih oleh KKD masing-masing. Statue Bonda Maria akan berada di sesebuah rumah selama satu hari satu malam memberi peluang kepada umat untuk menjaga dan berdoa bersama Bonda Maria.
Antara aktiviti semasa ziarah ini adalah umat berkumpul bersama keluarga KKD, berdoa Rosari, Devosi Kerahiman Ilahi dan mendengarkan Firman Tuhan. Ada juga KKD yang menambah aktiviti seperti bersama-sama membuat rantai rosari.
(Kiri) Semasa ziarah di KKD dan aktiviti membuat rantai rosari
Perjalanan ziarah ini berlangsung selama 15 hari dan diakhiri pada kemuncak Misa Pengangkatan Bonda Maria ke Syurga yang dipimpin oleh Fr Lazorus Uhin di Gereja St Yohanes Penginjil Panui sendiri.
Ziarah Statue Bonda Maria ini adalah untuk membawa umat lebih berdevosi kepada Bonda Maria dan sebagai tanda penghormatan kepada Bonda Maria yang telah melahirkan Yesus. Ziarah ini juga merupakan satu ajakan Bonda Maria untuk sentiasa mengasihi sepertinya, belajar untuk peka akan keperluan sekeliling kita dan meringankan tangan untuk membantu sesama.
Dalam ziarah ini, doa permohonan seperti doa untuk perlindungan dunia, gereja, pemimpin-pemimpin, orang sakit, jiwa-jiwa di api penyucian turut diselitkan.
Pn Dourin wakil Tim Pelaksana ZSBM berucap, “Syukur dan puji Tuhan, perlaksanaan ZSBM berjalan dengan begitu jayanya dan berakhir dengan kemuncaknya yakni Perayaan Misa Kudus Bonda Maria Diangkat Ke Syurga. Saya percaya ramai yang hatinya dijamah Tuhan sehingga ada yang telah bersaksi bagi kemuliaanNya.”
Pn Dourin mengucap syukur atas sambutan umat yang menyertai ziarah ini. Dia berharap agar ziarah ini membuahkan buah-buah kasih di dalam hati umat yang benar-benar fokus dan mengikuti pelaksanaan ziarah. Tanda-tanda kehadiran Tuhan itu ialah adanya buah-buah kasih seperti damai, sukacita, kegembiraan, kemurahan hati, kasih karunia Tuhan yang berkarya di dalam peribadi anggota keluarga, katanya lagi.