Oleh Babylyn Baco (Setiausaha KWK Keuskupan Sandakan 2022-2025)
Aug 24 2022
“Ke Arah Gereja Yang Lebih Sinodal”
SANDAKAN – Setelah perhimpunan secara bersemuka diizinkan oleh pihak kerajaan, Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Diosis Sandakan kembali mengadakan Perhimpunan Agung tahunannya, kali ini edisi ke-10, pada 30 Jul 2022 lalu di Dewan Persidangan, Pusat Pastoral Diosis Sandakan.
Seramai 120 ahli KWK dari seluruh diosis telah hadir ke perhimpunan ini yang dilaksanakan oleh KWK Paroki Sandakan sebagai tuan rumah.
Perhimpunan dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab oleh setiap wakil paroki di mana doa pembukaan dipimpin oleh Fr Christopher Ireneus, Pembimbing Rohani KWK Diosis Sandakan.
Cecelia D’ Souza, Ketua Penyelaras KWK, di dalam ucapannya, mengalu-alukan kehadiran semua yang datang dari jauh dan dekat. Dia percaya bahawa semua yang hadir ke perhimpunan tersebut datang kerana iman dan dia menghargai sokongan yang diberikan sehingga dapat berkumpul bersama-sama atas nama Kristus, katanya.
“Ini bukanlah tentang pertemuan demi pertemuan, tetapi menunjukkan bahawa kita datang dalam satu iman untuk memberikan pelayanan kepada Tuhan,” katanya.
Cecelia D’ Souza memberikan cenderahati kepada Uskup Julius
Fr Christopher, dalam ucapannya, berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua yang hadir. Dia rasa bersyukur kerana dapat bermesyuarat walaupun hanya secara maya bagi pemilihan dan pelantikan Ahli Majlis Tertinggi Sesi 2022-2025 pada 15 Mac yang lalu.
“Setelah sekian lama tidak bertemu, berkumpul bersama, akhirnya kita tahu mengapa kita berada di sini. Ini menunjukkan semangat dan komitmen pelayanan seperti tema perhimpunan kita, ‘Ke Arah Gereja Yang Lebih Sinodal’,” katanya.
Fr Chris menekankan bahawa Gereja Sinodal membawa semua untuk mengadaptasi kepada sesuatu yang baharu, berjalan bersama seiring dengan perkembangan terkini dan mempersiapkan diri untuk menempuhi cabaran.
Dia berkata Perhimpunan Agung Ke-10 ini adalah contoh yang baik kerana pelaksanaannya berjalan dengan baik.
“Semangat seumpama ini diperlukan oleh gereja dan saya berharap agar KWK terbuka kepada pelayanan lain, luar daripada kebiasaan, seperti mempromosi panggilan hidup sebagai paderi atau religius, bertanggungjawab saling mendengar sesama dan berjalan bersama dalam pelayanan,” tambahnya.
Ucapannya diakhiri dengan luahan rasa gembira atas kehadiran yang memberangsangkan, berkata semangat mereka memberi inspirasi.
Fr Chris berpesan kepada KWK agar tidak melihat tugasan-tugasan pelayanan sebagai satu bebanan tetapi satu peluang untuk melayani dan memberikan sesuatu kepada gereja dan komuniti demi kemuliaan Tuhan.
Uskup Julius dan Fr Christopher meraikan Misa Kudus
KWK telah membincangkan dan melaporkan hal-hal dalam minit mesyuarat lalu serta mengutarakan perkara-perkara berbangkit. Mereka juga menetapkan dan mengemaskini Takwim KWK Diosis Sandakan Tahun 2022/2023.
Mereka bercadang untuk mengadakan Perhimpunan Agung ke-11 di Paroki Holy Trinity, Tawau pada bulan Jun 2023 dan sekaligus merayakan Ulang Tahun KWK Diosis Sandakan yang ke-12.
Turut hadir, Uskup Julius Gitom di dalam ucapannya meluahkan rasa gembira dan berharap agar ahli-ahli KWK yang baharu dan lama dapat bekerjasama untuk meraih banyak pencapaian dalam pelayanan sebagai kerasulan wanita Katolik.
Uskup turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua ahli KWK kerana sudi dan rela melayani di peringkat diosis dan paroki.
Perhimpunan ini telah memberi ruang kepada ahli-ahli KWK yang lama dan yang baharu untuk lebih saling mengenali dan mengetahui perkembangan masing-masing setelah lama tidak dapat bertemu dan bermesyuarat secara bersemuka.