Salah satu sesi program Serve and Preparation Week (SAPW)
Oleh Dokumentasi CSG-UMS
Julai 31 2020
KOTA KINABALU – Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG-UMS) telah membantu belianya mempersiapkan diri dalam pelayanan berpusatkan Kristus mengikut norma baharu gereja melalui program Serve and Preparation Week (SAPW).
Program SAPW juga bertujuan untuk membimbing belia menyeimbangkan komitmen dalam pelayanan sebagai pelajar dan ahli keluarga.
Program ini telah berlangsung selama tiga hari iaitu pada 10 Julai, 16 Julai dan 19 Julai bermula jam 7.00 malam, bertemakan petikan daripada Yohanes 8:28, “…namun Aku datang bukan atas kehendak-Ku sendiri, tetapi Aku diutus oleh Dia yang benar…”.
Merujuk takwim CSG-UMS sesi lepas, program SAPW sepatutnya dianjurkan pada 27-28 Mac yang lalu, namun pandemik COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan dan sekaligus semua aktiviti CSG telah ditunda.
Barisan EXCO-Biro CSG-UMS sesi 2020/21 telah sebulat suara bersetuju menganjurkan SAPW dengan menggunakan platform media sosial untuk mempraktikkan penjarakan sosial dan bagi mengelakkan group gathering.
Program telah disertai oleh EXCO-Biro, Lembaga Pengarah program dan semua belia Katolik CSG-UMS yang akan melayani dalam semua program / aktiviti CSG bagi sesi 2020/21. Platform bagi menjalankan program adalah Youtube, Discord, Whatsapp, Kahoot dan Uquiz.
Pemberi sesi dalam program ini adalah Fr Nicholas Stephen, Sister Terecia Loukang fsic dan Dennis Patrick. Manakala beberapa orang alumni CSG-UMS juga telah dijemput untuk memberikan perkongsian mereka semasa melayani sebagai seorang pelajar di CSG-UMS.
Fr Nicholas dalam sesi “Jesus and Me Part One” berkata, “Kita harus sentiasa melayani 24 jam sebab si iblis akan berusaha selama 24 jam untuk menjatuhkan kita. Jadi, kita harus mahu melayani tanpa kira waktu dan tanpa lelah”.
Sr Terecia fsic dalam sesinya, “Thy Will be Done Part One” menerangkan tentang keperibadian Bonda Maria yang seharusnya dicontohi dan diamalkan oleh belia Katolik. “Semua keperibadian Maria boleh kita contohi dalam pelayanan terutama sekali dalam kehidupan seharian apalagi di dalam norma baharu yang kita lalui sekarang”, katanya.
Fr Nicholas dan Sr Terecia juga menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh peserta semasa hari pertama program dijalankan.
Dalam sesinya, Dennis Patrick berkata belia Katolik harus menjadikan Yesus sebagai fokus serta niat pelayanan agar pelayanan yang dilakukan konsisten, bermotivasi, tulus dan tanpa membandingkan antara sesama.
Dalam Sesi 4 Young Server, Dennis berbincang tentang kreativiti seorang belia. Pandemik yang tercetus secara tidak langsung telah mengubah hampir seluruh norma pelayanan sebelum ini. Keadaan ini telah mendorong kreativiti para belia untuk terus melayani sesama dan menginjil melalui media dan teknologi. Jelaslah bahawa pelayanan itu tidak akan terhenti dan hal ini menunjukkan bahawa jika kita meminta, maka “Dia” akan memberi, kata Dennis.
Akhir kata daripada semua Lembaga Pengarah, semoga program “Serve and Preparation Week” dapat membangkitkan semangat rohani dan pelayanan para peserta setelah berehat seketika disebabkan pandemik.
Situasi global ini tidak menjadi halangan bagi belia CSG-UMS untuk melayani sesama walaupun berhadapan dengan perubahan drastik. Melalui program SAPW ini, dengan bantuan Tuhan Bapa, ternyata tidak akan ada penghalang kepada pelayanan pembangunan rohani.