(Gambar atas) Fr Sylvester Wong menyampaikan homilinya semasa Misa Kudus Pelajar, 5 Ogos. (Gambar kiri dan kanan bawah) Fr Sylvester dan Fr David Sham memberkati murid-murid semasa komuni
Oleh Stanley Ung, Kredit Foto Sylvester Philip
August 15 2022
INANAM – Fr Sylvester Wong telah merayakan Misa Kudus Pelajar khas untuk murid-murid Sekolah Kebangsaan St Catherine Inanam pada 5 Ogos lalu, bersama Rektor Paroki, Fr David Sham.
Seramai 181 murid sekolah ini telah menghadiri Misa tersebut, turut menyertai adalah 45 murid Tadika Sukacita Inanam, ibu bapa dan penjaga serta guru-guru sekolah.
Fr Sylvester memetik petikan Injil, “Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: Setiap orang yang mau mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya dan mengikuti Aku.” (Mat 16:24-28)
Fr Sylvester berkata dalam homilinya, “Untuk menjadi murid Yesus, dia harus menyangkal dirinya, ertinya kita harus mengutamakan dan mendahulukan kehendak Tuhan daripada kehendak diri sendiri.
“Menjadi murid Yesus di masa ini haruslah bijaksana, iaitu mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman dengan memiliki pemikiran kritis sambil berpegang teguh pada nilai-nilai kristiani dan setia kepada Kristus,” kata Fr Sylvester.
Fr David berkata Misa Kudus Pelajar ini akan diadakan setiap bulan pada hari jumaat minggu pertama manakala Bible Knowledge pada jumaat minggu ketiga.
“Aktiviti ini adalah salah satu inisiatif bagi pembentukan awal iman kanak-kanak untuk menerapkan nilai-nilai ajaran gereja.
“Aktiviti ini juga untuk menyahut panggilan dan intervensi yang terbaik dan selari dengan persidangan PAX yang lalu.
“Ini merupakan satu titik permulaan yang baik setelah Pandemik COVID-19 melanda negara kita,” kata Fr David.