Lagu Aksi Puji-Pujian Kem Panggilan
Oleh Bibiana T. Densia
May 20 2022
BUNDU TUHAN – “Temui Jalan Menuju Panggilan Sebenar Anda” merupakan tema Kem Kesedaran Panggilan yang diadakan secara bersemuka di Pusat Retreat Bundu Tuhan (BTRC) dari 1 – 3 Mei 2022.
Kem ini merupakan inisiatif pertama anjuran tim promosi panggilan di bawah Keuskupan Agung Kota Kinabalu setelah dua tahun kawalan pergerakan akibat penularan virus Covid-19. Pembukaan semula sempadan negara kita untuk pelancong antarabangsa sememangnya menjadi khabar gembira bagi kita semua di mana ianya membolehkan kewujudan kembali kehidupan nyata, dan dapat merealisasikan Kem Kesedaran Panggilan tahun ini walaupun semua perancangannya telah dilakukan secara maya.
Jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada perwakilan dari berbagai kongregasi religius (Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC), Good Shepherd Sisters (RGS), Daughters of St. Paul (FSP), Brothers of St. Gabriel (SG), the Clerical Society of the Most Holy Trinity (SST), Order of Friars Minor (OFM), the Order of Friars Minor Capuchin (OFMCap), the Piarist Fathers (Sch.P) and Marist Teaching Brothers (FMS),bertemu secara maya melalui zoom untuk berbincang dan mempersiapkan kem tersebut dari awal bulan Januari lagi.
Pendaftaran secara maya untuk Kem Kesedaran Panggilan telah bermula pada minggu pertama bulan April. Ia telah menarik minat seramai 56 orang peserta (33 perempuan dan 23 lelaki), yang berasal dari pelbagai paroki Keuskupan Agung Kota Kinabalu serta beberapa orang daripada Diosis Keningau. Selain itu, seramai 24 orang religius telah menghadiri Kem tersebut untuk bersama dengan peserta.
Para peserta mula mendaftar diri di BTRC pada tengah hari 1 Mei. Fr. Robert Dalusung, Sch.P., yang datang dari Manila, memimpin Misa Pembukaan jam 5 petang, yang dikonselebrasikan bersama beberapa orang paderi religius. Selebran mengingatkan para peserta bahawa Tuhan sendirilah yang telah menjemput dan memimpin mereka ke Kem Kesedaran Panggilan agar mereka dapat mendengarkan Dia dengan lebih teliti dan menemui KehendakNya dalam hidup mereka.
Selepas Misa Pembukaan, Br. Thomas Paul,SG., pengerusi Majlis religius Keuskupan Agung Kota Kinabalu, bagi pihak jawatankuasa penganjur, mengalu-alukan kedatangan peserta ke BTRC. Beliau kemudiannya memberikan taklimat keselamatan dan membuat pengumuman penting kepada para peserta yang antaranya ialah mengingatkan semua yang hadir bahawa walaupun Malaysia telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOPs) dari segi penggunaan pelitup muka, jawatankuasa penganjur Kem Kesedaran Panggilan mewajibkan penggunaan pelitup muka di sepanjang Kem tersebut sebagai langkah berjaga-jaga. Makan malam dan program lain menyusul selepas taklimat.
Sesi ceramah dan aktiviti yang disediakan untuk 3 hari program Kem Kesedaran Panggilan itu termasuk: Pujian dan Penyembahan, Ice Breaking, Harapan saya, Panggilan Kekudusan, Kehidupan berkomuniti, Video tentang Karisma dan Kerohanian, Kisah Panggilan Saya, Forum terbuka dan Discernment Process. Penceramah bagi pelbagai sesi adalah daripada kalangan para religius dari jawatankuasa penganjur itu sendiri.
Forum Terbuka Kem Panggilan
Perkongsian kumpulan diadakan selepas setiap sesi dengan beberapa soalan renungan yang disediakan oleh setiap penceramah. Berdasarkan maklum balas yang diterima, para peserta mendapati perkongsian kumpulan sangat memperkaya. Selain daripada mempunyai ruang untuk berkongsi di kalangan rakan dalam kumpulan kecil dan mendengar antara satu sama lain, perkongsian itu juga membantu mereka memahami sesi yang telah diberikan dengan lebih baik dan mudah untuk diaplikasikan secara peribadi.
Kem Kesedaran Panggilan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk mengalami dan melihat sekurang-kurangnya puncak gunung ais (tip of the iceberg) di dalam kehidupan religius. Mereka didedahkan dan diperkenalkan bagaimana cara religius berdoa dengan menggunakan doa Gereja (Divine Office) untuk doa di waktu pagi dan petang serta amalan religius yang lain seperti Adorasi Sakramen MahaKudus dan perayaan Ekaristi Kudus setiap hari.
Kem Kesedaran Panggilan itu dihayati dalam suasana yang serupa dengan kehidupan Komuniti, salah satu ciri penting dalam panggilan sebagai religius. Memang sungguh baik dan indah untuk melihat bagaimana pelbagai kumpulan (peserta dan religius) giat bekerjasama selepas setiap makan: mencuci pinggan, mengelap meja dan membersihkan tempat makan. Mereka menjalankan tugas dengan penuh kasih. Dedikasi dan sikap ceria mereka menarik perhatian kakitangan dapur BTRC dan oleh itu mereka menghantar nota ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan kepada semua peserta atas teladan mereka yang memberi inspirasi yang pastinya telah memberikan motivasi dan dorongan kepada semua.
Pada keseluruhannya, Kem Kesedaran Panggilan itu telah berjalan dengan lancar, banyak pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermanfaat. Berdasarkan evaluasi di akhir kem itu, para peserta berpuas hati dengan keseluruhan program serta benar-benar bersyukur kerana diberi peluang untuk pergi ke sesi kaunseling dan Sakramen Rekonsiliasi.
Uskup Agung John Wong memimpin perayaan Ekaristi penutup pada 3 Mei. Dalam renungannya, dia berkongsi serba sedikit tentang perjalanan panggilannya sendiri. Dia mengingatkan setiap peserta tentang pentingnya memupuk hubungan yang lebih erat dengan Tuhan dalam doa dan mencabar mereka untuk berani menyahut panggilanNya sambil meyakinkan mereka, “Tidak kira apa kongregasi pun yang kamu masuki, kita tetap melayani Tuhan yang sama, jadi jangan takut, berilah peluang kepada diri kamu menjadi alat untuk digunakan oleh Tuhan”.
Akhirnya, Sr. Terry, FSIC., selaku koordinator Kem Kesedaran Panggilan 2022 mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang terlibat menjayakan Kem panggilan ini: Allah Bapa Yang Maha Kuasa atas bimbingan dan berkat yang berterusan, Uskup Agung atas kebaikannya merayakan misa penutup dan kerana membenarkan kita untuk tinggal di BTRC secara percuma. Tidak lupa kepada jawatankuasa penganjur, Sisters Carmelite dan semua yang telah mendoakan kita semasa Kem tersebut, para peserta kerana tanpa mereka tiada Kem Kesedaran Panggilan. Sr Terry juga berterima kasih kepada paderi Paroki dan penolong paderi Paroki Bundu Tuhan kerana memberi kebenaran untuk menggunakan Gereja. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan dapur BTRC yang diketuai oleh Sr. Caroline Duli dan Saudari Olga yang telah mengatur dan menyediakan makanan sepanjang tempoh Kem.
Sr. Terry berharap, melalui Kem Kesedaran Panggilan ini semua peserta dapat mengenal pasti secara beransur-ansur panggilan mereka yang sebenarnya . Akhirnya, dia menjemput semua yang hadir pada Ekaristi penutup itu untuk mempersembahkan seluruh hidup dan masa depan mereka kepada Tuhan yang mengetahui dan melihat segalanya.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, rakaman telah dibuat kepada beberapa sesi dan apabila siap akan dimuat naik di saluran youtube yang dibuat khusus untuk Kem Kesedaran Panggilan Religius di Sabah.