Seminarian Jerry Muhamat
Oleh Nelson Fernandez
May 18 2022
DONTOZIDON – “KALAU kamu ingin menjadi seorang paderi, pergilah, kamu adalah pemberian Tuhan, kami hanya dia punya penjaga, jikalau Tuhan mahu pelayanNya, kami harus kembalikan kepada Tuhan”.
Demikianlah ungkapan seorang ibu kepada anaknya iaitu Seminarian Jerry Muhamat yang mana sekarang sedang menjalani pembentukan kepaderian di Seminari Major di Kolej St Peter, Kuching.
Sem Jerry memberi perkongsian semasa Misa Kudus pada 8 Mei sempena Minggu Panggilan di Gereja St Paul Dontozidon.
Dalam keadaan terharu, dia menangis dalam sukacita kerana sesudah empat tahun di dalam pembentukan paderi, barulah ibunya merelakan diri untuk anaknya menjadi paderi yang akan melayani di ladang Tuhan.
Semasa berada di dalam seminari, Jerry berkata kehidupannya berubah menjadi lebih baik, “Ini kerana apabila memasuki rumah pembentukan, kami diberi pembentukan yang mana dasarnya adalah Tuhan Yesus sendiri. Sukacita yang tidak pernah saya lalui di luar pembentukan itu, saya rasai di dalam seminari dan saya percaya ini semua rencana Tuhan.
Jerry berkata, “Rencana Tuhan ini akan menentukan adakah saya ini layak menjadi seorang paderi dan ia bergantung pada Tuhan, Bishop dan diri saya sendiri.
“Dan apakah yang saya dapat melalui pembentukan di seminari? Bukan sahaja menjadi seorang paderi tetapi bagaimana saya menjadi seorang manusia sebelum saya menjadi seorang paderi…be human first before you become someone… Banyak persoalan yang timbul dalam pemikiran saya.
“Seandainya saya menjadi seorang paderi, umat-umat yang saya lihat berada di luar sana adalah satu keperluan untuk lebih meneruskan pembentukan diri sendiri. Ini kerana saya akan hidup berjalan bersama dalam kesatuan terutamanya dalam komiti, ini sangat penting,” kata Jerry.
Harapan Seminarian Jerry adalah agar ramai lagi belia dari paroki St Paul Dontozidon menyahut panggilan menjadi paderi, setiap tahun ramai bayi yang dibaptis, maka mesti ramai juga yang akan ditahbis katanya.
Fr Russell Lawrine memimpin Misa Kudus sempena Minggu Panggilan pada 8 Mei di St Paul Dontozidon
“Siapakah gembala hidup kamu?”
Sempena Minggu Panggilan, Fr Russell Lawrine berkata di dalam homilinya, “Siapakah gembala yang berada dalam kehidupan kita yang sentiasa memberi kita kegembiraan dan kesenangan, namun gembala-gembala ini tidak memberikan kita kegembiraan yang berkekalan atau menjamin kehidupan kekal kita.
“Siapakah gembala yang tinggal dalam diri kita pada saat ini, siapa gembala yang menggembalakan kamu pada saat ini. Janganlah tersalah pilih gembala, jika tersilap pilih, tidak akan menjamin kehidupan kekal, tetapi pilihlah gembala yang boleh membimbing anda ke jalan yang benar, ke rumput yang hijau, ke air yang tenang,” kata Fr Russell.
Pada hari tersebut juga adalah Hari Ibu dan Fr Rusell berkata, “Luangkanlah masa bersama ibu anda, peluang ini tidak akan berkekalan untuk selama-lamanya. Ambillah peluang untuk sentiasa bersama mereka, bagilah sebuah hadiah yang indah kepada ibu anda.