Belia dan umat St Michael Lokub Kiulu berhenti untuk doa Rosari di sepanjang pendakian di Pusat Sangod Hill Hiking Trail pada 5 Mei lalu
Oleh Angela S. Juanis
May 12 2022
KIULU – Seramai 35 orang belia bersama umat Chapel St Michael Lokub Kiulu telah mengadakan aktiviti hiking ‘Berjalan Bersama Kristus’ pada 5 Mei yang lalu di Pusat Sangod Hill Hiking Trail sambil berdoa Rosari di sepanjang perjalanan.
Aktiviti hiking diadakan seawal jam 7.30am, yang dimulai dengan doa pembukaan Rosari di Chapel St Michael Lokub. Peserta berhenti di tempat tertentu sepanjang perjalanan untuk meneruskan misteri-misteri doa Rosari.
Aktiviti hiking ini diketuai oleh Katekis Ronald Ladimin Unding dan disertai oleh Diakon Lasius Gantis selaku Spiritual Director.
Para peserta hiking bersama Diakon Lasius (tengah berbaju biru) dan Katekis Ronald (tengah berbaju merah)
Diakon Lasius juga telah memberkati tempat-tempat tertentu di laluan Hiking Trail iaitu pondok atau sulap yang baru dibina dan pokok-pokok besar.
Umat mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk menamatkan perjalanan sejauh 11 kilometer ini, yang bermula dan juga berakhir di Chapel Lokub.
Pusat ini adalah salah satu Pusat Eko-Pelancongan Kg Lokub yang diterajui oleh para belia dan komuniti Zon Lokub, Paroki Kiulu.
Belia dan umat St Michael Lokub juga berpeluang beramah mesra dengan umat St Anthony Rungus Panasawa, iaitu salah satu lokasi perhentian, dan menikmati makanan tradisi yang disediakan oleh mereka.
Setibanya di puncak trail, para peserta telah dihujani, namun kerinduan terkumpul untuk mengadakan aktiviti gereja selama masa pandemik tidak mematahkan semangat mereka.
Berkat penyertaan Roh Kudus, semua peserta telah selamat sampai di ending point kira-kira jam 4.00 pm. Aktiviti diakhiri dengan doa penutup oleh Diakon Lasius.