Mesyuarat Pembubaran CDS Sesi 2019-2021 dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Baharu CDS Sesi 2022-2025
Oleh Anathasia Thomas, Setiausaha CDS (2022-2025)
May 9 2022
SANDAKAN – Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan (KPIK) yang telah dibentuk secara rasmi pada 18 Januari 2014 kini dikenali sebagai Caritas Diosis Sandakan (CDS).
Keputusan ini dilakukan selari dengan penubuhan Caritas Malaysia pada tahun 2020 oleh Konferensi Uskup-Uskup Katolik Malaysia.
Justeru itu, Mesyuarat Pembubaran CDS Sesi 2019-2021 dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Baharu CDS Sesi 2022-2025 telah diadakan pada 21 April lalu secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.
Seramai 20 orang telah menghadiri sesi mesyuarat tersebut, terdiri daripada para perwakilan dari paroki-paroki di Diosis Sandakan, termasuk Fr Phillip Muji, Pembimbing Rohani CDS.
Agenda utama pada mesyuarat itu ialah sesi pemilihan bagi barisan Ahli Jawatankuasa baharu CDS Sesi 2022-2025, sesi pengenalan semua ahli, penerangan ringkas mengenai draf garis panduan CDS serta laporan ringkas mengenai aktiviti-aktiviti lalu.
Dengan mandat daripada Uskup Julius Gitom, Uskup Diosis Sandakan, Fr Phillip turut mengumumkan pelantikan Sr Julita Joseph, FSIC yang melayani di Paroki Holy Trinity, Tawau sebagai Ex-Officio dan Anna Teresa Peter Amandus sebagai Pengerusi CDS yang baharu.
Manakala sesi pemilihan untuk tiga jawatan tertinggi CDS dijalankan secara pengundian pada hari tersebut.
Selain itu, turut diumumkan ialah penubuhan satu komisi baharu iaitu Komisi Pelayanan Pastoral kepada Migran dan Perantau (KPPMP) Diosis Sandakan yang memberi tumpuan khusus kepada hal-hal pelayanan bagi migran dan perantau terutamanya mereka yang berada di kawasan Diosis Sandakan.
Uskup Julius telah melantik Kletus Muyuk sebagai Pengerusi KPPMP dan Shirley Joseph sebagai Setiausaha. Fr Phillip kekal dalam pelantikan sebagai Pembimbing Rohani bagi CDS dan KPPMP, sehinggalah ada keputusan lain melalui mesyuarat para paderi Diosis Sandakan akan datang.
Penubuhan KPPMP bagi Diosis Sandakan merupakan inisiatif Uskup Julius setelah berbincang secara teliti dan terperinci bersama semua ahli Tim Pelayanan Migran Katolik Sabah (TPMKS) (dahulunya dikenali sebagai Tim Penggerak Pelayanan Migran Sabah atau singkatannya, TPPMS) yang terdiri daripada perwakilan-perwakilan rasmi dari ketiga-tiga keuskupan di Sabah semasa mesyuarat mereka pada 18-19 April 2022 lalu.
Dengan ini, Caritas Diosis Sandakan selepas ini akan dapat menumpukan pelayanan terhadap hal-hal berkaitan misi bantuan amal kasih dan mempromosikan semangat solidariti dengan lebih meluas lagi. Namun demikian, CDS pasti, dan akan tetap berjalan bersama dalam pelayanan dengan KPPMP dan komisi-komisi lain di Diosis Sandakan.
Uskup Julius telah meluluskan kewujudan enam bahagian pelayanan khusus di bawah CDS. Berikut merupakan senarai penuh ahli jawatankuasa baharu bagi sesi 2022-2025:
Ahli Jawatankuasa Caritas Diosis Sandakan Sesi 2022-2025
Penaung: Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, DD
Pembimbing Rohani: Fr. Phillip A. Muji
Ex-Officio: Sr. Julita Joseph, FSIC
Pengerusi: Anna Teresa Peter Amandus
Timbalan Pengerusi: Sinoh Kulipang (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Setiausaha: Anathasia Thomas (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Timbalan Setiausaha: Juliana Kimin (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Penyelaras Bahagian Khusus:
Pelayanan Pastoral kepada yang Miskin dan Terpinggir (CDS-PPMT): Patrick Michael (Paroki Holy Trinity, Tawau)
Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana dan Kecemasan (CDS-KMBK): Gerald Salipa Siringan (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Advokasi:
(Belum ada)
Pengurusan Sukarelawan (CDS-PS): Franco Amigo (Paroki Katedral St. Mary, Sandakan)
Pengurusan Dana dan Kewangan (CDS-PDK): Clarence Chin (Paroki Holy Trinity, Tawau)
Program dan Aktiviti Komisi (CDS-PAK): Elaine V. Alejandro (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Ahli-ahli Komiti:
Rayner Guntingan (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Rachel Antak (Paroki St. Dominic, Lahad Datu)
Nicholas Ponilau (Paroki St. Martin, Telupid)
Mullin Yadim (Paroki St. Martin, Telupid)
Martinus Hera (Paroki St. Martin, Telupid)
Dorney Yeo Kiandee (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran)
Sejarah Caritas Malaysia (sumber: https://www.caritasmalaysia.net/who-we-are/our-history/)
Semasa Persidangan Para Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei (CBCMSB) pada 8 Julai 2019, para Uskup bertemu dengan kakitangan Caritas dari Vatican dan Asia untuk dialog. Uskup-uskup Malaysia kemudiannya memutuskan untuk memperbaharui semula keahlian yang telah luput dengan persekutuan Caritas.
Pada 9 Januari 2020, pada Persidangan Uskup berikut mereka sebulat suara memutuskan untuk menubuhkan Caritas Malaysia sebagai badan menyeluruh untuk semua organisasi yang terlibat dalam kerja amal dan pembangunan. Mereka kemudiannya melantik Uskup Bernard Paul sebagai Pengerusi Caritas Malaysia dan Charles Bertille sebagai Setiausaha Eksekutif pejabat nasional.
Satu mesyuarat pelancaran telah diadakan bersama semua delegasi keuskupan dan Uskup Pengerusi pada 25 Februari 2020 di APC, KL. Mereka membincangkan situasi dan keperluan untuk membina kapasiti, sistematik dan berasaskan penyelidikan dalam kerja pelayanan.
Terdapat kata sepakat untuk bekerjasama di peringkat kebangsaan di bawah Caritas. Komiti Eksekutif sementara telah ditubuhkan pada mesyuarat ini dan telah bermesyuarat secara berkala. Mereka terdiri daripada Bapa Uskup Bernard Paul, Charles Bertille, Dominic Lim dari Kota Kinabalu, Sabah, Fr Galvin Richard Ngumbang & Fr Alvin Ng dari Kuching, Sarawak, dan Fr Alvin Santhanam dari KL. Pejabat Nasional Caritas Malaysia telah ditubuhkan di Pusat Pastoral Keuskupan Agung (APC), Kuala Lumpur.
Hubungan kerja telah dijalin semula dengan Caritas Asia dan Caritas Internationalis. Para Uskup bermesyuarat pada 23 Jun 2020 dan meluluskan organigram Caritas dan urusan operasi lain untuk menubuhkan atau mengukuhkan pejabat Caritas Keuskupan sedia ada. Caritas Malaysia telah dilancarkan pada 6 November 2020.- Diocese of Sandakan