Oleh Nodjor, SOCCOM Gereja St Thomas, Kepayan.
May 9 2022
KEPAYAN – Seperti gereja-gereja lainnya sepanjang Minggu Suci, Gereja St Thomas juga merayakan Minggu Suci yang diawali dengan Perayaan Minggu Palma pada 10 April 2022.
Dalam homili Msgr Primus Jouil selaku Paderi Paroki, beliau menjelaskan bahawa dengan bantuan Roh Kudus, Tuhan Yesus telah menjadi manusia, kerana Dia bersama kita di dunia ini. Dia telah menyampaikan pengajaran tentang KASIH iaitu Kasih kepada Tuhan dan Kasih kepada sesama manusia. Melalui Dia diutus oleh Tuhan menjadi manusia dan sikap pengampunanNya terhadap kita semua.”
Pada Perayaan Misa Khamis Putih yang diadakan pada 14 April 2022, Msgr.Primus berkata di dalam homilinya, “Yesus mengorbankan diri-Nya kepada kita semua dan telah mengadakan Perjamuan Akhir sebelum Dia ditangkap dan diseksa. Perjamuan Akhir itu adalah Korban Misa yang mengingatkan kita tentang pengorbanan Yesus kepada kita.”
Dalam misa tersebut, seramai 12 umat dipilih untuk upacara pembasuhan kaki yang merupakan contoh teladan Yesus tentang kerendahan diri dan kemahuan melayani sesama.
“Marilah kita membuka hati kepada pernyataan yang diberikan Jesus kepada Pilatus – ‘Dia adalah Raja tetapi bukanlah raja di dunia ini,seperti orang Yahudi yang menyalibkan Yesus kerana Dia mengaku sebagai Raja. Namun, mereka silap bahawa Raja yang dimaksudkan oleh Yesus adalah Raja di akhirat iaitu di syurga di mana di sana lah kita akan pergi suatu hari untuk selama-lamanya kerana pemerintahan Yesus tidak berkesudahan. Di dunia ini, kita hanya hidup sementara sahaja, selepas itu, kita akan beralih ke kehidupan kekal.” Demikian penjelasan Msgr.Primus di dalam homilinya pada 15 April 2022 iaitu Misa Penghormatan Salib Kristus. Kelihatan begitu ramai umat yang datang pada hari tersebut untuk menghormati salib Kristus.
Di malam Paska atau dikenali juga sebagai Easter Virgil yang disambut pada 16 April 2022, Seramai 27 calon menerima Sakramen Pembaptisan (14 orang dewasa dan 11 kanak-kanak). Para calon kelihatan berpakaian serba hitam terlebih dahulu yang mencerminkan mereka masih hidup dalam kegelapan. Hanya setelah mereka dibaptis barulah mereka menggantikan pakaian mereka itu kepada pakaian berwarna putih yang menandakan mereka dilahirkan semula sebagai anak Tuhan.
Msgr Primus berkata, “Bersukarialah dan bersyukurlah bersama mereka yang menerima Sakramen Pembaptisan dan sokonglah mereka di dalam doa kita supaya mereka dengan kuasa Tuhan menerima Sakramen Pembaptisan dengan penuh bermakna.”
“Kita yang sudah menerima pembaptisan, tidak ada lagi kegelapan, kita akan bersinar dan kuasa dosa tiada lagi di atas kita. Walau bagaimanapun, kita tetap akan jatuh dalam dosa, namun tidak mematikan kita kerana kita telah diselamatkan oleh Kristus,” kata Msgr Primus.
Pada malam itu, bagi umat yang sudah menerima sakramen pembaptisan telah memperbaharui janji baptis mereka yang diikuti dengan percikan air suci.
Dalam homili paderi paroki itu pada Misa Minggu Paska, beliau mengajak umat untuk bersukaria kerana Kristus telah bangkit dari kematian dan kini hidup bersama-sama kita selama-lamanya..
“Marilah kita membaharui iman kita dan belajar untuk terus teguh di dalam iman bersama Kristus.”
Dalam Misa itu, sekali lagi umat memperbaharui janji baptis mereka yang diikuti dengan percikan air suci.