Program online Komisi pada 19 Julai jam 2.00 petang.
Oleh Komisi Belia Keuskupan Keningau
Julai 18 2020
SEPANJANG tahun 2020, Keuskupan Keningau telah memutuskan untuk tidak mengadakan aktiviti perkumpulan besar-besaran seperti seminar, kem, rekoleksi dan sebagainya bagi membendung penularan COVID-19.
Segala perancangan pastoral dan aktiviti yang telah dirancang dan disusun kini ditunda dan ada yang dibatalkan.
Justeru itu, Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program belia secara online bermula pada bulan Julai 2020 sehingga hujung tahun 2020 dengan menggunakan medium Youtube, Facebook dan Instagram pada setiap hari Ahad, pada jam 2.00 petang.
Program online ini diadakan bertujuan untuk menjangkau dan mendekati para belia dengan evangelisasi norma baharu melalui internet serta menyalurkan informasi kepada para belia agar tetap setia dan bertahan di dalam iman.
Segala perancangan dan penyediaan pengisian online kini sedang giat dijalankan. Program ini melibatkan belia dari semua paroki dan mission di Keuskupan Keningau di mana setiap mereka juga akan mengendalikan satu slot.
Pengisian program adalah berbentuk doa, Novena, lakonan, tarian, nyanyian, perkongsian belia dan sebagainya.
Semua rakan-rakan belia dan umat lainnya dijemput untuk mengikuti program dari belia untuk belia ini melalui pautan Youtube atau Facebook “Komisi Belia Keuskupan Keningau”.
Program online pertama telah bermula dengan Doa Kerahiman Ilahi pada 5 Julai yang lalu, disusuli dengan program ‘Minggu Alkitab dan Kelompok Kitab Suci 7 Langkah’ pada 12 Julai.
Program ‘Bual Bicara bersama Deaf Ministry’ akan diadakan esok 19 Julai dan pelbagai lagi pengisian akan berterusan sehingga hujung tahun ini.
Komisi berharap agar melalui program online ini, ia boleh mengubat kerinduan para belia untuk melayani di ladang Tuhan dan menjadi sumber kekuatan serta suntikan semangat diri untuk tetap bertahan dalam iman.