Peserta sedang menyulam pakaian tradisional semasa bengkel pada 12 Mac yang lalu
Oleh KOMSOS St Patrick Membakut
March 17 2022
MEMBAKUT – Sebuah bengkel mempelajari sulaman pakaian tradisional suku kaum kadazan Membakut telah dianjurkan julung kalinya oleh Komiti Kebudayaan, Paroki St Patrick Membakut pada 12 Mac 2022 yang lalu.
Pengerusi Komiti Kebudayaan, Christopher Sintoh, berkata bengkel ini merupakan salah satu pengisian program Komiti Kebudayaan Paroki sebagai usaha sokongan mempersiapkan umat paroki St Patrick Membakut sebagai tuan rumah bagi sambutan Ulang Tahun Keuskupan (UTK) ke 29 pada bulan Mei nanti.
Bengkel yang ini diadakan di dewan gereja St Patrick Membakut, telah menerima penyertaan seramai 25 orang umat yang berminat untuk menambah pengetahuan mengenai seni budaya masyarakat Kadazan Membakut.
Christopher juga menjelaskan bahawa objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua umat untuk lebih menghargai seni dan budaya masyarakat setempat sambil memperkenalkan kepada generasi muda mengenai keunikan pakaian tradisi suku kaum Kadazan Membakut.
Christopher mengucapkan terima kasih kepada paderi paroki, MPP serta semua umat yang telah memberi sokongan kepada program tersebut sehingga dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat sambutan.
Oleh kerana ruang yang terhad, Christopher memohon maaf kerana tidak dapat menerima peserta lebih daripada yang telah ditetapkan oleh pihak MPP walaupun mendapat permohonan penyertaan yang banyak dari umat serta mengucapkan terima kasih kepada tenaga pengajar Winnie James Lampan dan Elvis Lawrence yang juga merupakan ahli Komiti Kebudayaan kerana telah memberi bimbingan dengan penuh semangat.
Christopher berkata lagi Komiti Kebudayaan Paroki St Patrick Membakut akan meneruskan aktiviti memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat Membakut melalui program yang telah dirancang seperti pembinaan Suhap (pondok) tradisi, memperkenalkan tarian Sazau Paina dan banyak lagi kesenian masyarakat setempat pada masa akan datang.