Umat semasa Misa Kudus pertama di St John Tuaran pada 11 Julai.
Oleh Erica Egtopen
Julai 14 2020
TUARAN – Gereja St John kini dibuka semula untuk Misa Kudus pertama kalinya kepada umat di Tuaran setelah empat bulan ditiadakan disebabkan oleh pandemik coronavirus.
Misa Kudus pertama di gereja ini adalah Misa Petang pimpinan paderi paroki Fr Edward Raymond, yang diadakan pada 11 Julai yang lalu. Pembukaan gereja ini telah mengikuti protokol pelayanan gereja yang diusulkan oleh Keuskupan Agung Kota Kinabalu iaitu selaras dengan Standard Operation Procedure (SOP) kerajaan.
SOP yang telah disediakan oleh Gereja St John berjalan dengan lancar kerana semua umat memberikan kerjasama mematuhi SOP ini. Dalam masa PKPP yang akan berlangsung sehingga akhir Ogos, Misa Kudus akan diadakan mengikut jadual penggiliran yang disediakan oleh gereja iaitu mengikut Komiti Pastoral Umat Katolik (KPUK). Setiap KPUK mestilah mendaftar nama umat terlebih dahulu kepada Pengerusi KPUK masing-masing yang kemudian diserahkan kepada Paroki.
St John Tuaran telah menetapkan agar setiap Misa Gereja hanya dapat menerima 200 umat termasuk petugas liturgi, paderi dan warden.
Fr Edward dalam homilinya berkata dalam Misa pertama ini semua yang hadir berpeluang untuk bersama-sama merayakan Ekaristi ataupun Misa Kudus. Dia berkata pasti setiap umat mempunyai ucapan syukur terima kasih kepada Tuhan kerana gereja dibenarkan semula untuk merayakan Misa Kudus.
Namun seperti mana yang diketahui, umat perlulah membiasakan diri dalam merayakan Ekaristi pada masa PKPP ini. Semuanya tertakluk dengan SOP dan SOP ini bukanlah yang direka-reka oleh gereja sendiri, tetapi datang daripada kerajaan dan Uskup Agung sendiri, maka umat perlulah menurutinya. Fr. Edward juga berharap agar umat dapat memahami situasi baru ini yang perlu dihidupi.