Mar 8 2022
KUALA LUMPUR – Gereja Katolik di rantau ini amat prihatin terhadap perang di Ukraine dan kesannya terhadap keamanan dan keadilan global, yang pasti menjejaskan kehidupan orang ramai di mana-mana. Uskup Sebastian Francis menyatakan sedemikian dalam surat yang dikeluarkan pada 2 Mac 2022.
“Sejarah dan punca perang mungkin rumit, tetapi peperangan dalam jangka panjang tidak menguntungkan sesiapa, termasuk kita. Sebaliknya, ia hanya membawa kemusnahan dan meninggalkan jejak penderitaan dan migrasi yang besar,” jelas Presiden Konferensi Uskup-uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei.
Oleh itu, Gereja di rantau ini “menyertai paduan suara gereja dan pemimpin Kristian di seluruh Asia, bersama semua orang yang beriman dan muhibah, dengan rendah hati merayu untuk keamanan dan keadilan. Kami menyeru Rusia, Ukraine dan semua pihak yang berkepentingan untuk menghentikan kegilaan dan keganasan perang dan datang ke meja keamanan dan keadilan.
“Saling menghormati, menerima perbezaan antara semua pihak, dan integriti negara, adalah penting untuk keamanan dan keadilan untuk hidup berdampingan dengan sesama. Di mana sahaja terdapat konflik, dunia perlu segera menyediakan pelan pemulihan, dan sekarang ini, untuk rakyat Ukraine; dan mengukuhkan setiap usaha dalam keamanan dan perdamaian.”
Uskup Sebastian mengakhiri surat itu dengan menyeru semua umat menyertai panggilan Sri Paus Fransiskus bagi mendedikasikan hari pertama Pra-Paska, Rabu Abu dan seterusnya, sebagai hari Berpuasa dan Berdoa demi Keamanan dan Keadilan di Ukraine dan dunia.
“Semoga Tuhan menyentuh hati semua pemimpin, pembuat keputusan dan umat Tuhan, untuk menghentikan perang ini dan mewujudkan keamanan dan keadilan. Semoga Maria, Ratu Damai dan Keadilan, memimpin langkah kita menuju kedamaian dan persaudaraan.” – Herald Malaysia