Belia berdiri dengan berani berkarya sepanjang PKP untuk menyara kehidupan
By Christina David
July 14 2020
PENULARAN COVID-19 menyaksikan banyak agensi seperti perhotelan, pelancongan, perniagaan, perkhidmatan taska dan pusat asuhan serta perkhidmatan lain terpaksa menghentikan operasi mereka. Ini bermakna ribuan atau mungkin puluhan ribu pekerja hilang punca pendapatan, malah ada yang mencongak nasib mereka yang bagaikan telur di hujung tanduk. COVID-19 yang datang membadai dunia tanpa belas kasihan memberikan impak yang begitu besar dan mengubah seluruh kehidupan manusia sejagat.
Golongan muda atau belia adalah mereka yang paling banyak terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang disebabkan oleh penyebaran pandemik ini. Sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 responden yang menyertai ‘kajian khas kesan coronavirus (COVID-19) terhadap ekonomi dan individu’ mengakui kehilangan pekerjaan kesan daripada wabak berkenaan (www.dosm.gov.my).
Justeru, apa yang boleh dilakukan bagi memastikan kelangsungan kehidupan terutama sekali mereka yang sangat terkesan dengan pandemik ini? Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia memberi kesan kepada setiap orang secara peribadi.
Namun bagi sesetengah belia, mereka melihat situasi yang berlaku semasa PKP dilaksanakan ini dengan positif. Walaupun pada awalnya, memang susah dan sangat membimbangkan, namun semangat untuk mahu memperbaiki keadaan dan tidak mahu bergantung kepada bantuan membuatkan mereka berani untuk mengubah keadaan. Semangat ini dikongsikan oleh beberapa belia Katolik khususnya untuk para belia yang ada di luar sana.
Maria Merry Magdalena Petrus, 26, Diosis Sandakan
Sebelum PKP saya bekerja secara sembilan mengambil upah membersihkan rumah orang. Apabila PKP dikuatkuasakan, saya tidak lagi dapat melakukan pekerjaan saya kerana tiada orang yang memerlukan perkhidmatan. Keadaan ini menimbulkan masalah yang rumit kepada saya, saya kehilangan punca pendapatan untuk membantu dan menyara keluarga saya.
Kehilangan punca pendapatan dan tekanan yang saya hadapi memaksa saya untuk benar-benar berfikir cara untuk mencari jalan keluar dari permasalahan ini. Saya yakin Tuhan akan sentiasa membuka jalan keluar dari masalah ini dan saya juga tahu bukan hanya saya yang menghadapi masalah seperti ini tetapi mungkin ramai lagi yang di luar sana.
Satu pagi saya rasa seperti mahu mencuba belajar membuat cookies dan chocojar untuk tujuan dijual. Saya sungguh-sungguh bertekad untuk belajar dan selama 3 minggu saya berusaha sehinggalah saya merasa yakin untuk menjualnya kepada orang lain.
Saya sangat bersyukur kerana cookies dan chocojar yang saya hasilkan sendiri menarik minat kawan-kawan dan saudara mara serta orang luar. Mereka juga membantu saya untuk mempromosikan kepada kawan-kawan mereka.
Setiap usaha memerlukan kekuatan dan kesabaran. Saya berhadapan dengan masalah untuk memulakan usaha kecil-kecilan ini kerana kekurangan modal untuk membeli bahan asas, selain terpaksa mengerjakannya sendiri yang ada kalanya membuatkan saya hampir putus asa. Sikap panas baran dan kurang kesabaran saya juga menjadi cabaran utama saya namun ianya menyedarkan saya untuk tetap bertahan. Saya bersyukur kerana keluarga dan kawan-kawan terdekat banyak memberikan saya sokongan dan galakan.
Penghasilan daripada penjualan D’Maria CokCip sedikit sebanyak membantu saya untuk menjana kewangan dan dapat membantu keluarga. Walaupun tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya usaha yang saya buat telah membuahkan hasil. Harapan saya semoga usaha yang telah saya mulakan ini semakin berkembang dan kalau boleh ada branding saya sendiri.
Kepada para belia di luar sana, terutama mereka yang turut mengalami impak daripada penyebaran virus COVID-19, jangan takut dan malu untuk mencuba, gunakan karunia-karunia yang telah Tuhan berikan kepada kita untuk berkarya. Percayalah bahawa bila kita mendapat sesuatu daripada hasil usaha kita sendiri, itulah kegembiraan yang paling bermakna. D’Maria CokCip ??
Darren Liu, 24, Diosis Sandakan
PKP menjejaskan kemampuan saya untuk menjana sumber pendapatan. Sebagai orang yang bekerja sendiri, saya bergantung penuh kepada hasil titik usaha saya. Sepanjang PKP, saya kehilangan punca pendapatan dan terpaksa bergantung kepada duit simpanan untuk perbelanjaan harian dan itu membuatkan saya tidak senang hati kerana ada banyak komitmen lain yang saya perlu bayar.
Semasa PKP saya banyak mencuba resepi masakan seperti pizza, pasta, cake, cookies dan banyak lagi. Namun biasanya hanya sebagai santapan bersama keluarga saja. Hinggalah pada suatu hari keluarga dan kawan-kawan saya mencadangkan dan mendorong supaya hasil masakan saya seperti kek dan cookies dijual kepada orang lain. Dan selepas beberapa masa, saya tidak menyangka yang hasil buatan saya mula mendapat permintaan daripada orang luar.
Cabaran yang saya hadapi sepanjang melakukan usaha kecil-kecilan ini adalah dari segi tenaga. Saya pernah mendapat tempahan membuat kek yang agak besar dan memerlukan saya bekerja dari jam 7.00 pagi hingga 4.30 petang dan memang sangat mencabar kerana semua kerja saya lakukan sendirian. Saya juga menerima maklumbalas dan kritikan daripada keluarga, rakan-rakan serta pelanggan namun ianya saya jadikan sebagai pembakar semangat saya untuk berusaha memperbaiki hasil saya.
Saya bersyukur kerana keluarga dan kawan-kawan banyak menyokong dan memberikan saya semangat supaya tidak berputus asa. Sehingga hari ini, sudah 2 bulan saya menjalankan usaha pembuatan cookies dan cake dan saya sangat gebira kerana saya dapat menjana pendapatan dan duit simpanan saya tidak kena kacau.
Kita adalah harapan kepada diri kita sendiri, masa muda adalah peluang untuk kita bekerja keras untuk masa depan. Kepada para belia di luar sana, try think out of the box bila mahu mencari duit. Kalau macam saya, fitness trainer yang tidak menggalakkan orang makan manis-manis pula membuat cake and cookies, tapi apa boleh buat, ada permintaan. Saya juga sedang dalam usaha untuk mencuba menghasilkan product protein cookies khusus untuk mereka yang buat fitness supaya mereka juga boleh merasa cookies buatan saya.
Loraine Lojuki, 29, Kg Pogunon Penampang, Diosis Kota Kinabalu
Sebelum PKP saya bekerja sebagai pembantu pentadbiran dan service crew secara sambilan di salah satu cafe di Penampang. Apabila PKP dilaksanakan, saya kehilangan sumber pendapatan sampingan sebab tiada lagi kerja lebih masa dan café juga terpaksa ditutup. Dengan komitmen yang banyak, keadaan ini sedikit sebanyak merisaukan saya.
Mula-mula sekali tercetusnya idea untuk mejana kewangan melalui usaha kecil-kecilan membuat cake adalah dari ibu saya. Masa itu, ibu meminta saya untuk membuatkannya Butter Cake, semua bahan dia sediakan. Untuk memenuhi permintaannya, saya berusaha membuat kek seperti yang dimintanya selepas mempelajari cara-caranya dari Google dan Youtube. Saya sendiri ragu-ragu kerana sebelum itu, saya tidak pernah membuat kek.
Dipendekkan cerita, selepas ibu saya merasa kek yang saya buat, dia cakap “tidak payah sudah beli kek di bakery, buli buat sendiri sudah” dan bermula dari sana, saya mula berjinak-jinak belajar buat kek. Saya mencuba banyak kali sehinggalah akhirnya usaha saya membuahkan hasil apabila Kek Brownies saya mendapat banyak permintaan.
Memang pada mulanya saya juga menghadapi cabaran terutama keyakinan diri untuk melangkah lebih jauh. Saya sentiasa risau jika hasil yang saya berikan tidak dapat memuaskan hati orang terutama pelanggan. Mujurlah keluarga saya terutama ibu dan bapa serta kakak saya banyak memberikan saya semangat dan dorongan. Selain itu saya juga tiada kemahiran untuk bahagian hiasan kek sehinggakan ada masanya saya rasa mau putus asa. Bapa saya cakap “Loraine kau pelan-pelan saja, kau memang boleh itu, yang penting teruskan berusaha untuk belajar, lama-lama kau akan pandai juga”.
Selepas 2 bulan saya mengusahakan Homemade Cake secara sambilan sejak PKP, saya sudah boleh melihat hasil usaha saya. Pendapatan kasar yang saya dapat jika saya rajin boleh melebihi pendapatan dari kerja tetap saya sekarang. Saya berharap saya akan terus maju dan tidak cepat putus asa dalam usaha kecil ini.
Untuk para belia di luar sana yang kehilangan kerja atau ingin mencari sumber pendapatan sampingan, ikutlah minat kamu, jangan cepat putus asa kerana setiap orang ada kelebihan, yang penting sentiasa rajin, berdoa dan mestilah berusaha. Kalau kamu rasa tidak pandai, belajarlah sampai pandai. Ora et labora!
Mary Ivanca Michael, 28, Diosis Kota Kinabalu
Lahir dalam keluarga yang kurang berkemampuan dan ramai adik beradik membuatkan saya sentiasa cuba berusaha meringankan beban ibubapa saya. Saya merupakan anak sulung dari 7 orang adik beradik. Saya sudah biasa buat usaha kecil-kecilan seperti jualan online.
Apabila PKP dilaksanakan, dan melihat kepada situasi yang berlaku, saya merasa sangat risau. Saya risau akan apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, tiada siapa yang tahu berapa lama lagi virus ini akan mengganggu kita. Saya juga melihat perkembangan semasa di mana banyak agensi dan syarikat yang terpaksa ditutup dan memberhentikan pekerja. Kebimbangan akan kehilangan pekerjaan juga memberikan saya tekanan dan memaksa saya berfikir untuk melakukan sesuatu.
Saya mula membuat kerepek berasaskan kulit popiah dengan pelbagai perisa. Mujurlah dulu saya sudah ada pengalaman membuatnya untuk makanan keluarga. Kebetulan ibu saya juga ada usaha menjual sayur-sayuran kampung yang diambil dari hutan kepada penduduk sekitar kampung.
Memang pada mulanya ada rasa takut, bimbang dan risau serta kurang keyakinan untuk memulakan usaha ini. Tapi keinginan untuk mahu mencuba dan atas minat saya sendiri, saya berusaha mengatasi kebimbangan saya. Syukur dan puji Tuhan, usaha saya tidak sia-sia kerana mendapat sambutan yang baik. Kaedah mempromosikan jualan atau produk melalui media sosial juga sangat membantu.
Walaupun usaha ini kecil sahaja namun banyak membantu saya dalam menjana pendapatan sampingan. Ianya tidak mudah kerana saya juga tidak mempunyai kenderaan sendiri dan terpaksa bergantung kepada kenderaan awam untuk membuat COD, namun saya sungguh-sungguh berusaha tanpa berputus asa.
Saya akan terus melakukan usaha ini selagi saya mampu sebab bukan besar atau kecil hasil yang kita ingin lihat tetapi berapa banyak usaha yang kita lakukan untuk mendapatkan yang terbaik.
Kepada para belia di mana pun anda berada, apa pun situasi yang anda lalui, kita mesti bijak dalam mengambil peluang yang ada. Kita semua ada karunia bakat masing-masing dan layak untuk menjadi seorang pengusaha dan layak untuk berjaya. Ini yang selalu saya ingat “Yakin pada diri sendiri, kalau orang lain boleh buat, kenapa saya tidak?” Tuhan sudah membuka jalan, kita yang kena bijak untuk mengambil peluang itu.
Zeveon Stephen, Diosis Kota Kinabalu: Rezeki itu adalah berkat daripada Tuhan
Saya seorang freelance hairstylist selama 2 tahun selepas saya menutup kedai saloon saya selepas beroperasi selama 10 tahun. Saya melakukan khidmat menggunting rambut di rumah saya dan menerima pelanggan secara temujanji atau mengikut permintaan pelanggan.
Apabila COVID-19 melanda negara kita dan PKP dilaksanakan, saya tidak lagi dapat meneruskan pekerjaan saya sebagai Tukang Gunting disebabkan saya tinggal bersama keluarga dan ibu bapa tidak menggalakkan saya menerima pelanggan disebabkan dalam keluarga ada anak kecil.
Tanpa pendapatan sendiri, saya rasa seperti hidup saya membebankan keluarga. Saya mengalami perasaan sedih, segan, susah hati dan risau berapa lama lagi keadaan ini akan berubah. Mujurlah saya mempunyai keluarga yang sangat memahami dan hubungan kami adik-beradik sangat rapat. Kami turut berkongsi hobi yang sama iaitu suka memasak dan mencuba resepi baru.
Hinggalah satu hari semasa kami sedang membuat kek, tiba-tiba timbul idea untuk mencuba usaha kecil membuat kek dan minuman pearl homemade. Kebetulan saya juga pernah mengikuti kursus membuat kek anjuran JPSM (Jabatan Pembangunan Sumber Manusia) beberapa tahun yang lalu. Kami turut membuat persiapan termasuk mengadakan menyertakan rancangan usaha ini dalam doa rosari keluarga kami setiap malam agar Tuhan sungguh-sungguh campurtangan.
Masa mula-mula menyiapkan tempahan untuk kawan-kawan rapat dan keluarga, memang kami agak risau dan bimbang juga kalau tidak menepati citarasa mereka. Namun selepas beberapa kali, dan ada yang ulang tempahan, kami mula yakin dan dalam masa sebulan kami dapati usaha ini tidak menjadi sia-sia. Sedikit sebanyak kami mampu menjana pendapatan untuk membantu keluarga terutama untuk perbelanjaan harian.
Apa yang paling menyentuh hati saya disini adalah apabila kami adik-beradik mampu bekerjasama dengan baik, membahagikan tugas dan peranan masing-masing dan belajar tentang tanggungjawap. Melalui usaha ini juga kami belajar untuk bekerjasama dengan baik dan saling membantu.
Kami bersyukur kerana mendapat sokongan dan dorongan daripada ibubapa dan kawan-kawan rapat. Kami juga menerima banyak komen yang membina, dan kami berjanji untuk terus melakukan yang terbaik selagi pelanggan masih mencari kami.
Untuk para belia di luar sana, jangan pernah malu atau kurang keyakinan dalam membuat sesuatu yang baru atau mencuba untuk melakukan sesuatu. Untuk mencapai sesuatu, memerlukan usaha yang gigih dan selebihnya serahkan segalanya kepada tangan kasih Tuhan. Dia pasti akan mengatur yang terbaik buat kita sekiranya kita mendahulukan Dia dalam setiap hal yang kita lakukan. Setiap kita punya rezeki kita masing-masing yang sudah Tuhan atur.
Jangan takut untuk gagal selagi kita belum cuba untuk mendapatkannya. Tiada orang yang boleh bantu diri kita untuk maju,kecuali diri kita sendiri.