Oleh Marcus Kopong
Feb 19 2022
KOTA MARUDU – Setelah hampir mencecah tiga tahun tidak diadakan sebarang pertemuan dalam kalangan Katekis Pembimbing separoki disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.
Namun para Katekis Pembimbing amat bersyukur kerana pada tahun ini pihak Komiti Kateketikal paroki menganjurkan Minggu Kateketikal,Rekoleksi kepada para Katekis Pembimbing dan juga upacara pengutusan kepada semua pembimbing.
Dalam homili Fr Wiandigool Runsab, beliau mengajak para pembimbing agar bersedia diutus seperti Nabi Yesaya dan berani untuk menebar jala ke tempat yang dalam seperti yang dinyatakan dalam pembacaan Injil dalam Misa Kudus tersebut.
Dalam maksud lain, Fr Wiandigool mendorong para pembimbing agar berusaha memperbaiki hubungan dan komunikasi di dalam setiap keluarga terlebih dahulu sebelum keluar melayani di luar.
Dengan menyarankan agar mereka siap mendengar masalah dalam keluarga sendiri, siap untuk saling mengampuni setiap kesalahan atau kekurangan dalam keluarga dan siap untuk mengasihi, juga saling dapat menerima segala kekurangan atau kelemahan dalam keluarga. Homili dalam Misa tersebut adalah bersesuaian dengan tema Minggu Kateketikal pada tahun ini iaitu “Hidup Berkeluarga, Jalan Menuju Kekudusan.”