Para peserta yang terpilih sebagai calon aspiran 2022
Oleh Seminarian Allan Kosidi Andrew
Feb 16 2022
BUNDU TUHAN – “Jangan takut untuk mengatakan ‘ya’ pada panggilan anda menjadi paderi kerana Tuhan akan senantiasa menyertai kamu sambil kamu merenungkannya,” kata Uskup Agung John Wong ketika homilinya semasa Misa pembukaan Seminar Panggilan Menjadi Paderi Keuskupan di Pusat Retreat Bundu Tuhan (BTRC) pada 21-23 Januari lalu.
Uskup Agung John berkata, “Seminar itu adalah peluang dan jemputan dari Tuhan kepada semua peserta untuk mendengar suaraNya dan membantu para peserta untuk merenung panggilan mereka agar berani memberi respon kepada panggilan dengan bimbingan para paderi yang turut mengongsikan pengalaman dan perjalanan mereka sebelum menjadi paderi.”
Seminar itu disertai oleh 56 peserta, 30 penganjur termasuk para seminarians, aspirans, tiga paderi iaitu Fr Mattheus Luta, Fr Isidore Gilbert dan Fr David Gasikol serta Uskup Agung John Wong sendiri.
Semasa Misa penutupan, Fr Isidore, Rektor Rumah Pembentukan Aspiran, turut menekankan “Sikap mendengar penting agar dapat merenungkan apakah para peserta dipanggil menjadi paderi kerana kita selalunya mendengar untuk menjawab, lebih daripada mendengar untuk memahami. Oleh itu, semua peserta seminar, dan juga pemuda-pemuda di luar sana harus sanggup merendahkan diri agar dapat mendengarkan suara Tuhan.”
Di akhir Misa, selepas proses penapisan, 14 calon aspiran diterima untuk masuk ke Rumah Pembentukan pada tahun ini.