Misa pertama di Dataran Keuskupan Keningau pada 20 Jun yang lalu.
By KOMSOS KSFX
July 13 2020
Keuskupan Keningau telah membuka semula pintu Gereja untuk perayaan Misa Kudus dan lain-lain pelayanan pada 20 Jun yang lalu selaras dengan pengumuman kerajaan tentang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Berikut adalah perkongsian umat Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) tentang Misa pertama yang mereka hadiri.
Jenevy Diew, Gereja St Mary Bingkor
Saya sangat gembira kerana kebanyakan Gereja di Keuskupan Keningau khususnya di Paroki KSFX telah mula dibuka dan membenarkan umat menghadiri Misa Kudus.
Setelah tiga bulan mengikuti Misa Kudus secara online, akhirnya dapat menghadiri Misa Senja dan melayani umat di Gereja St Mary Bingkor pada 20 Jun lalu.
Sebagai pelayan di Gereja, saya melihat Standard Operating Procedure (SOP) yang diamalkan di Gereja sangat memenuhi peraturan dan buat masa ini SOP tersebut mudah diikuti dan diterima oleh umat yang datang untuk menghadiri Misa Kudus.
Glorytta Richard, Gereja St Yohanes Penginjil Panui
Apabila diumumkan bahawa gereja sudah mula membuka pintunya untuk Misa Kudus, saya berasa sangat teruja kerana akhirnya dapat mengubati kerinduan untuk berjumpa dengan Tuhan dan menyambut Tubuh dan DarahNya.
Namun, disebabkan kesihatan yang kurang baik menyebabkan saya tidak dapat menghadiri Misa Kudus yang pertama selepas PKP di gereja kami yang diadakan pada 28 Jun.
Saya tetap bersyukur walaupun saya sakit dan tidak dapat ke gereja, saya masih dapat merayakan Misa Kudus secara online di rumah. Sepanjang PKP ini, sebagai umat Katolik, selain merayakan Misa Kudus online, kami sekeluarga berdoa rosari, memohon dari Tuhan agar penularan pandemik COVID-19 ini dapat diputuskan.
Shirley, Persatuan Hospis SFX ( Komiti Kecemasan )
Pada 20 Jun, KSFX telah menjalankan misa senja pada jam 6.00pm yang pertama kalinya selepas PKP yang berlangsung di Dewan Solidariti, Dataran Keuskupan Keningau. Secara peribadi, saya berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat kembali untuk melayani umat khasnya di KSFX . Sebelum Misa dimulakan, saya bersama beberapa belia daripada KBK KSFX telah ditugaskan untuk mengambil data, suhu dan mensanitasi tangan sebelum paderi, para petugas misa dan umat dibenarkan masuk di gereja.
Syukur kerana semua mereka yang hadir ke Misa Kudus itu memberikan kerjasama dan jujur dalam mengisi data mereka di kaunter saringan suhu. Umat dilihat amat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak gereja. Walaupun pada masa kini, kita melalui norma baharu, tetapi tetaplah percaya bahawa dengan doa yang kita satukan bersama pasti penularan wabak COVID-19 ini akan berakhir dengan segera. Yang penting kita sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling. Ingatlah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.