81 katekis Katedral Hati Kudus hadiri rekoleksi pada 16 Jan sempena Minggu Kateketikal
Oleh Averil Simon
Jan 27 2022
KOTA KINABALU – Seramai 81 katekis menghadiri rekoleksi semasa Minggu Kateketikal di Dewan Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu pada 16 Januari lepas. Semua mereka ini terdiri dari 41 pembimbing Pertemuan Minggu Gembira (PMG) BM dan 40 daripada RCIA.
Rekoleksi ini juga merupakan salah satu inisiatif untuk membantu persediaan para katekis bagi meneruskan pelayanan di dalam gereja sebagai seorang pembimbing. Atas persetujuan daripada Rektor Paroki, Fr Paul Lo, buat pertama kalinya rekoleksi ini dapat diadakan secara bersemuka selepas dua tahun akibat pandemik. Rekoleksi tetap diadakan mengikut Standard Operational Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam rekoleksi ini Seminarian Jerry Muhamat memberikan perkongsiannya dengan tema Kateketikal 2022 “Keluarga Menuju Ke Arah Kekudusan”. Seminarian Jerry berkata tema ini sangatlah sesuai kerana jika dilihat pada masa sekarang terdapat pelbagai rintangan dan cobaan dalam membesarkan keluarga, begitu juga dengan para katekis untuk membimbing anak murid bagi mendalami iman mereka agar dapat mengikuti jalan kekudusan.
Seminarian Jerry Muhamat (kiri) menerima sedikit saguhati disampaikan oleh Peter Suking, Koordinator Pertemuan Minggu Gembira Katedral Hati Kudus
Dia berkata lagi setiap individu mahupun keluarga mempunyai tanggungjawab dalam panggilan masing-masing agar sesebuah keluarga itu menghidupi kehidupan Kristiani dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Kristian serta manusia kepada keluarga, masyarakat, dan negara kerana ia bermula daripada seorang individu seterusnya ke keluarga sehinggalah ke masyarakat. Melalui itulah bagaimana gereja bermula.
Sem Jerry meneruskan perkongsian berkata gereja amat menitikberatkan kekeluargaan di dalam diri kita sebagai seorang Kristian dan keluarga itu juga merupakan sebuah kehidupan yang bersatu, mesra, penuh dengan cinta kasih, serta tidak boleh diabaikan kerana institusi keluarga itu penting dan dipandang tinggi kerana ia akan memastikan kesinambungan gereja serta misinya seperti mana telah Tuhan Yesus berikan kepada kita semasa pembaptisan.
Akhirs sekali Sem Jerry berkata bahawa peranan ibu bapa adalah sangat penting kerana mereka merupakan pewarta injil atau guru iman pertama untuk anak-anak mereka dan para pembimbing hanyalah membantu bagi anak-anak mereka untuk mendalami iman Kristian Katolik mereka. Oleh itu, ibu bapa dan pembimbing perlulah bekerjasama dalam membentuk iman anak-anak mereka.