Uskup Cornelius Piong memberkati statue Sto Nino
Oleh Juanis Marcus
Jan 25 2022
KENINGAU – Uskup Cornelius Piong mengingatkan kepada komuniti-komuniti di Paroki Keningau, khususnya Komuniti Filipino agar tidak tertumpu kepada ‘statue’ sahaja di dalam merayakan sesuatu Pesta. Uskup menegaskan perkara tersebut semasa menyempurnakan Misa Kudus sempena Pesta Sto Nino, di Dataran Keuskupan, Keningau pada 16 Jan lalu.
“Menyambut Pesta Sto Nino adalah sesuatu yang penting dan bermakna bagi gereja dan komuniti di sini, namun janganlah hanya tertumpu kepada ‘statue’ itu sahaja. ‘Statue’ itu tidak berkembang dan statik,” tegas beliau.
“Tetapi arahkan pandangan kepada bayi Yesus itu, bayi yang membesar dengan bijak dan penuh hikmat,” katanya.
Uskup memberkati patung Sto Nino yang dibawa oleh umat sambil berarak memasuki gereja.
Veronica, Pengerusi Komunti Filipino, Katedral St Francis Xavier mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius, Nancy Nelly Pengerusi MPP Keningau, Tim Perayaan dan semua yang hadir bagi menyokong dan memeriahkan pesta tersebut.
“Pesta Sto Nino ini mempunyai erti yang sangat mendalam bagi komuniti kami. Komuniti di negara kami menerima hadiah Sto Nino dari Ferdinand Magellan dan seterusnya menerima iman Katolik itu, kami di sini juga akan berpegang pada iman yang sama walau di mana pun kami merantau,” kata Veronica.
Pesta Sto Nino atau Bayi Suci Yesus itu, adalah tradisi iman Katolik yang berasal dari negara Filipina dan biasanya dirayakan secara besar-besaran pada minggu kedua bulan Januari. Bagi Katedral St Francis Xavier, Pesta ini telah memasuki tahun yang ke-8 dirayakan di sini. Meskipun kali ini disambut secara sederhana namun semangat dan maknanya tidak pernah pudar.