Fr Paul Lo meraikan ulang tahun pentahbisannya sebagai paderi yang ke-16 pada 9 Dis di Cafe Oriental, Sabah Oriental Hotel, anjuran Friends of St John Vianney (FSJV)
Oleh Linda Edward
Dec 14 2021
KOTA KINABALU – Fr Paul Lo yang baru-baru ini meraikan ulang tahun imamatnya yang ke-16 berkata panggilan sebagai seorang paderi bukan bersifat peribadi tetapi komuniti.
“Setiap kami (paderi) dipanggil untuk melayani umat. Perayaan ini bukan untuk diri saya sendiri sahaja tapi untuk setiap kita.
“Bagi saya, sememangnya panggilan imamat ini sangat-sangat membawa kegembiraan, bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk semua umat. Sebab ini datang dari Tuhan.
“Seorang rektor di St Peter’s College Kuching pernah berkata apabila umat usahakan perayaan ulangtahun untuk seorang paderi tandanya panggilan paderi itu datang dari Tuhan.
“Sebab kami dipanggil Tuhan untuk melayani umat di sebuah paroki yang mana kami diterima,” terang Fr Paul.
Dia berkata ini di dalam perayaan ulang tahun ke-16 yang dianjurkan oleh Friends of St John Vianney (FSJV) pada 9 Dis di Sabah Oriental Hotel di sini.
FSJV mengadakan perayaan ini sebagai menzahirkan tanda kasih sayang kepada Fr Paul dan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas sokongannya kepada pelayanan FSJV di paroki-paroki bawah jagaannya.
“Bagi saya FSJV adalah lebih daripada hanya mencari dana untuk menyokong seminari. Kamu adalah sebahagian daripada pembentukan seminarian untuk menjadi paderi di masa hadapan,” kata Fr Paul kepada FSJV.
Dia juga berkata peranan FSJV adalah baik di paroki dan memberi cadangan untuk menambahbaik pelayanan mereka contohnya memperbanyakkan nyanyian semasa melayani dalam sesebuah Misa.
Turut hadir pada malam tersebut adalah Fr Saimon William dan Fr Russell Lawrine, Fr Isidore Gilbert, Fr Mattheus Luta, para aspiran dan seminarian serta para dermawan daripada gereja sekitar KK, Inanam, Penampang dan Tanjung Aru.
Fr Paul Lo memberikan sepatah dua kata
FSJV adalah komuniti umat Katolik yang memberikan komitmen membantu para aspiran dan seminarian dari aspek material, kewangan dan sokongan moral.
Mereka menjalankan pelbagai aktiviti penjanaan dana seperti melayani koir dalam Misa Perkahwinan, dekorasi gereja, jualan tiket bertuah, sampul putih doa arwah, makan amal dan sebagainya.
Ia bermula dengan nama Rakan Aspiran dan Seminarian (RASS) pada Februari 2011 yang diilhamkan oleh Fr Wilfred Atin selaku penasihat rohani sehingga Dis 2018.
Uskup Agung John Wong mencadangkan perubahan nama kepada Friends of St John Vianney pada Julai 2014 bagi menggantikan RASS.
Fr Joshua Liew kemudian menjadi penasihat rohani kedua bermula Jan 2018 – Mei 2019.
Kemudian pada Jun 2019, Fr Isidore Gilbert adalah penasihat rohani mereka yang ketiga sehingga kini.
Pengerusi FSJV pada musim ini adalah Rayner Anjumal dan Peter Suking selaku Timbalan Pengerusi.