Oleh Catherine Wan
Sep 20 2021
KOTA KINABALU – Biasanya, gereja akan menyambut calon yang telah melalui beberapa bulan sesi pertemuan Kateketikal di RCIA dengan merayakan upacara Penerimaan dalam Misa Minggu supaya ia disaksikan oleh umat dan berdoa untuk mereka. Namun, gereja belum dibuka untuk umat kerana situasi pandemik yang masih teruk. Namun demikian, dengan mengambil kesempatan Hari Kebangsaan pada 16 September sebagai cuti umum, Fr Paul Lo, rektor Katedral Hati Kudus menjemput calon dari RCIA pelbagai bahasa untuk menghadiri upacara Penerimaan atau upacara perlantikan menjadi katekumen pada waktu yang berlainan pada hari itu.
Sesuai dengan SOP semasa, peserta mesti menyelesaikan dua dos vaksinasi dan jumlah peserta tidak boleh melebihi lima puluh orang. Melalui upacara Penerimaan, calon diterima secara rasmi ke tahap katekumenate dan menjadi katekumen. Pada tahap ini, mereka belajar katekismus dan belajar menjalani kehidupan bertobat kepada Kristus selama lebih kurang setengah tahun. Diharapkan, pada bulan Mac tahun depan (Ahad pertama Prapaska), mereka akan didaftarkan sebagai Para Pilihan melalui upacara Pemilihan, dan secara aktif mempersiapkan diri dalam penerimaan sakramen inisiasi pada malam Paska atau pada hari Paska.
Upacara Penerimaan dalam BM diadakan pada pukul 11.00 pagi. Terdapat 46 katekumen dewasa di BM RCIA. Disebabkan peraturan SOP, hanya 20 katekumen yang ditemani oleh penjamin mereka yang dibenarkan untuk menyertai dalam upacara fizikal tersebut selama setengah jam. Calon lain dan penjamin mereka menyertai upacara tersebut melalui talian secara langsung iaitu ZOOM. Selain itu, terdapat 20 orang katekumen kanak-kanak yang tidak diwajibkan menyertai upacara tersebut.
Upacara Penerimaan dalam Bahasa Inggeris dan Cina diadakan pada pukul 3.00 petang dan 5.00 petang masing-masing di Katedral oleh rektor sendiri. Terdapat 15 katekumen berbahasa Inggeris, di mana dua daripada mereka berasal dari Church of the Immaculate Conception manakala ada lapan orang katekumen berbahasa Cina.
Upacara tersebut merangkumi tiga bahagian: sambutan, liturgi Sabda dan penutupan. Setelah menanyakan motif calon untuk memeluk iman Katolik. Rektor membuat tanda salib dari jauh, dan
calon sendiri memakai salib yang diberkati sebelumnya sebagai simbol kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus.
Fr Paul dalam homilinya juga menyatakan bahawa gereja memperingati kesyahidan Bapa Suci St Cornelius dan Uskup St Cyprian pada hari itu. Dia mendorong para katekumen untuk mencontohi keberanian kedua-dua orang kudus tersebut untuk menghadapi cabaran dan percubaan dalam hidup. Iman adalah anugerah Tuhan yang perlu diperkuat dengan Firman Tuhan kerana Yesus telah mengatasi godaan oleh Iblis dengan Firman Tuhan. Rektor menekankan bahawa setiap murid Kristus harus memikul salib dan mengikuti Dia.
Selepas homili, rektor menyerahkan Alkitab kepada wakil para katekumen kerana Alkitab akan membantu mereka untuk mengetahui lebih banyak mengenai Yesus Kristus.
Semasa doa permohonan bagi para katekumen, umat memohon supaya Tuhan menganugerahkan iman kepada mereka dalam menerima ajaran Kristus dengan sepenuh hati dan maju dalam perjalanan iman.
Dalam penutupan, rektor memberikan rahmat dan kedamaian kepada para katekumen. Marilah kita terus mendampingi mereka dengan doa dalam perjalanan iman mereka.