Belia KBK bertugas mencatat dan memeriksa suhu serta pemakaian penutup mulut
By KOMSOS KSFX
June 24 2020
KENINGAU – Gereja Katedral St Francis Xavier dibuka kembali untuk umat pada 21 Jun setelah ditutup sejak Mac lalu bagi mengatasi penularan pandemik COVID-19.
Ketika ini, dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 11 Jun – 31 Ogos, pihak berkuasa Majlis Keselamatan Negara telah membenarkan umat Kristian yang berada di Zon Hijau menjalankan Misa Kudus dan Ibadat di bangunan-bangunan gereja dan chapel pada Hari Minggu mengikut syarat-syarat ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) yang ditetapkan iaitu antara lain kehadiran umat pada setiap Misa dan Ibadat hanya satu pertiga dari kapasiti ruang Rumah Ibadat, penjarakan sosial, dan lain-lain.
Namun, perayaan Misa yang diadakan di Dewan Dataran Keuskupan Keningau menghadkan hanya 100 umat yang boleh menghadiri Misa Kudus tersebut. Manakala bagi Misa di Pusat Ziarah Keluarga Kudus hanya menghadkan 50 umat dalam satu-satu masa Misa dijalankan. Begitu juga dengan beberapa gereja luar stasi yang sudah dibenarkan mengadakan Misa Kudus.
Bagi Katedral St Francis Xavier, Misa dijalankan selang dua jam bagi membolehkan tempat beribadat itu dibersihkan (sanitized) sebagai langkah SOP yang telah dilaksanakan.
Bonnyventure Slye Austine, salah seorang petugas dan juga belia yang melayani di KSFX, yang membantu dalam mengawal keluar masuk umat berkata bahawa rata-rata umat yang hadir ke Misa Kudus itu memberikan kerjasama dan mematuhi SOP.
Untuk membantu melancarkan SOP ini, Kerasulan Belia Katolik (KBK) dengan kerjasama Persatuan Hospis dengan sukarelanya bertugas mencatat nama dan memeriksa suhu, memastikan umat memakai penutup mulut, sanitize tangan dan tapak kasut di pintu masuk gereja sebelum perayaan Misa.
Disebabkan perayaan Misa ini dipantau dan mengikuti SOP yang dilaksanakan, perayaan Misa Kudus secara online masih diteruskan agar mereka yang tidak dapat menghadiri Misa Kudus atau Ibadat di gereja masih berpeluang mengikutinya di rumah.
(Caption)