Belia dari Paroki Kota Marudu yang terlibat dalam persembahan Malam Tematik, Youth Fiesta dan Welcoming pada Virtual SYD5 pada 19-23 Julai 2021
Oleh Tim Program SYD5
19 Jun 2021
HANYA beberapa hari saja lagi akan menjelang tiba Sabah Youth Day 5 yang akan diadakan secara virtual atau nama pendeknya V-SYD5. Pastinya para penganjur dan peserta kini dalam proses persiapan akhir untuk menyambut kedatangan program belia Katolik yang besar ini.
Tim Program dengan keahlian seramai 35 orang, diketuai oleh Anna Teresa Peter Amandus, bersama para penganjur lain telah berusaha sebaik-baiknya untuk menyediakan satu bentuk program yang bersesuaian dengan keperluan masa kini dan dengan jiwa belia.
Ianya merupakan suatu pernyataan cintakasih bahawa gereja mempedulikan para belia Sabah dan ingin berjalan bersama dalam menemukan jawapan bagi persoalan iman dan hidup mereka.
Objektif SYD5 adalah 1) Membawa para peserta untuk merayakan iman sebagai belia Katolik di Sabah; 2) Agar para peserta dapat merenung, menghayati, dan mengikuti teladan Bonda Maria yang setia terhadap panggilan Tuhan dan 3) Agar para peserta diteguhkan untuk berani menjadi saksi-saksi Kristus di era Millennial.
Selaras dengan objektif SYD5 ini, program ini memberikan peluang kepada para peserta untuk mengongsikan pengalaman iman, kepahitan, kelukaan, kegembiraan, kurnia yang mereka miliki dan mengalami cintakasih Tuhan melalui persahabatan antara sesama.
Program ini bermatlamat untuk menyedarkan mereka akan cabaran dunia masa kini, lebih berfikir secara kritikal dan global, menyedari peranan mereka dalam Gereja dan seterusnya mendorong mereka menjadi murid-murid Yesus yang setia, komited dan lebih efektif dalam pelayanan sesama belia, keluarga, gereja dan masyarakat.
Untuk mendapatkan gambaran tentang kandungan program yang terpilih dalam virtual SYD5, Tim Program telah menyediakan nota ringkas sebagai panduan para peserta.
Tim Program Virtual SYD5 2021
‘Christus Vivit’
‘Christus Vivit’ atau dalam Bahasa Melayu, Kristus Hidup, merupakan satu dokumen yang dikeluarkan oleh Bapa Suci Fransiskus hasil daripada Sinod para Uskup seluruh dunia pada Oktober 2018. Dokumen ini telah dikeluarkan pada bulan Mac 2019. Intipati dokumen ini berfokus kepada orang muda seluruh dunia, maka sebab itulah pembentukan program ini adalah berdasarkan kepada ‘Christus Vivit’ selain daripada tema, objektif dan rasional Virtual SYD5.
‘Christus Vivit’ mengingatkan kepada para belia untuk tidak putus asa dalam menghadapi cabaran hidup. There is always a way out! (CV-103). Selain itu dokumen ini juga menyeru para belia untuk belajar mengunakan karunia dunia hari ini untuk menyebarkan kebaikan dan cintakasih kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seluruh makhluk di bumi. You are the now of God! (CV-64).
Bapa Suci Fransiskus dalam dokumennya juga mengingatkan kepada orang muda di seluruh dunia untuk berjalan bersama dengan orang dewasa dalam sama-sama merealisasikan impian dan visi mereka. The old dream dreams, and the young see visions! (CV–192).
Belia dari Paroki St Thomas Kepayan yang terlibat dalam persembahan Malam Tematik, Youth Fiesta dan Welcoming pada Virtual SYD5 pada 19-23 Julai 2021
Pada akhir dokumen ini, orang muda disajikan dengan cara meneruskan pelayanan. Pelayanan itu tidak perlu terlalu besar, ia boleh dimulakan dengan perkara yang kecil tapi akan memberi impak pada masa akan datang. Ini dapat dilihat dan didengari dalam sesi bengkel V-SYD5.
Akhir sekali, kita sebagai orang muda selalu diingatkan tentang panggilan hidup. Baik panggilan hidup sebagai seorang yang bekerja, seorang yang ingin mendirikan rumah tangga, mereka yang ingin menjadi seorang paderi dan religius, semua ini adalah panggilan yang murni. Ini adalah kerana panggilan ini sekiranya benar-benar dihidupi berlandaskan kepada terang Injil dan kasih, pasti membuah dunia yang baik.
Belia dari Paroki St Michael Penampang yang terlibat dalam persembahan Malam Tematik, Youth Fiesta dan Welcoming pada Virtual SYD5 pada 19-23 Julai 2021
Celebration of Love
Celebration of love merupakan sesi merayakan kasih Tuhan setelah melalui V-SYD 5 melalui Jalan Salib, Malam Tematik dan Adorasi. Setiap Celebration of Love ini merupakan sesi peneguhan dalam bentuk doa dan persembahan bertema (Tematik) dan diadakan pada akhir program pada hari kedua, ketiga dan keempat. Semoga melalui Celebration of Love ini, orang muda Katolik yang mengikuti program V-SYD 5 akan lebih diperkuatkan dan diyakinkan bahawa mereka adalah anak-anak yang dikasihi Bapa dan hati mereka didorong untuk mengongsikan kasih Tuhan kepada sesama.
Baptized and Sent dan Youth Fiesta
Pada tahun 2019, Bapa Suci Fransiskus telah mengumumkan Bulan Missionari Luar Biasa untuk mengingati ulang tahun Surat Apostolik Pope Benedict XV iaitu Maximum Illud yang ke 100 tahun. Tema bagi bulan Missionari Luar Biasa ini adalah “Dibaptis dan Diutus: Gereja Kristus dalam misi di dunia”.
Belia dari Paroki St Peter Claver’s Ranau yang terlibat dalam persembahan Malam Tematik, Youth Fiesta dan Welcoming pada Virtual SYD5 pada 19-23 Julai 2021
Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran kepada maksud misi dan menghidupkan kembali rasa tanggungjawab untuk memberitakan Injil dengan semangat baru.
Dalam mesej Bapa Suci semasa Minggu Misi 2018 yang memberi tumpuan kepada orang muda, mengingatkan kepada semua orang bahawa hidup adalah satu misi. Misi untuk menyebarkan iman ke seluruh dunia dengan menjadi saksi kepada cinta kasih terutama sekali dalam dunia digital hari ini.
Mengambil kata-kata Bapa Suci dalam Evangelli Gaudium 273 “I am a mission on this earth; that is the reason why I am here in this world”, mengingatkan kepada orang muda bahawa mereka punyai sebab untuk berada di dunia dan jangan fikir mereka tidak punyai apa-apa untuk diberikan atau berfikir bahawa orang lain tidak memerlukan mereka. “Think about it! Each of you, think in your heart: many people need me” – Bapa Suci Fransiskus, Hari Misi Sedunia 2018.
Belia dari Paroki Blessed Sacrament Labuan yang terlibat dalam persembahan Malam Tematik, Youth Fiesta dan Welcoming pada Virtual SYD5 pada 19-23 Julai 2021
Pada hari terakhir V-SYD5 bertemakan ‘EMPOWERED’ atau memperkasakan. Maka amat sesuailah V-SYD5 diakhiri dengan Youth Fiesta kerana ia mengajak para belia untuk merayakan dan mengucap kesyukuran di dalam hati mereka setelah lima hari pertemuan diadakan secara atas talian.
Ini adalah harapan Gereja, semoga melalui sesi-sesi yang membina ini, orang muda Katolik yang dibaptis dapat diingatkan semula janji baptisan mereka, diteguhkan, diperkasakan dan dibangkitkan agar berani menyatakan ‘Ya’ untuk diutus semula ke dunia realiti dan menjadi missionari (duta kecil) Tuhan Yesus bagi menyebarkan Injil dan cintakasih ke seluruh bumi.