Uskup Cornelius Piong memberkati Gereja Kristus Raja, sebuah gereja baharu di Kg Mailo, Mission Kemabong, pada 13 Mac
Oleh Aloy (KOMSOS GBMPAK)
22 Mac 2021
KEMABONG – Sukacita dalam Tuhan dirasakan oleh seluruh umat di Mission Kemabong apabila sebuah lagi bangunan baharu gereja dirasmikan oleh Yang Mulia Uskup Cornelius Piong pada 13 Mac lalu.
Gereja Kristus Raja, yang terletak di Kg Mailo itu siap dibina pada akhir Nov 2020 dengan bantuan kewangan daripada kerajaan dan dibangunkan oleh pihak kontraktor Datuk Victor Paul, menggantikan gereja lama Kg Mailo yang kini dijadikan sebagai dewan gereja.
Dengan adanya bangunan gereja yang baharu ini, upacara Misa dan Ibadat akan dapat dilaksanakan dengan lebih selesa tanpa apa-apa gangguan dan ini merupakan satu kesyukuran yang amat besar khasnya bagi umat di Kg Mailo, kata Rulis Amui selaku pengerusi penganjur dalam ucapannya.
Dalam keterujaan memiliki bangunan gereja baharu, Uskup menyeru umat untuk sama-sama mengubah persepsi tentang gereja, dengan menanamkan dalam hati bahawa gereja itu bukanlah bangunan semata-mata melainkan diri kita yang membentuk gereja Domestik bermula daripada keluarga, untuk membentuk anak-anak supaya mempunyai iman yang betul agar mampu melawan apapun pengaruh luar dan pengaruh jahat yang dihadapi. Malahan, Uskup sempat berseloroh dengan umat yang hadir supaya “Mailo” dalam mengikuti Yesus.
Perkataan ‘Mailo’ yang bermaksud “keras kepala” dalam Bahasa Murut Tahol, perlu diteladani dari sudut positif iaitu sikap keras kepala kita untuk tetap setia kepada Kristus Raja, dengan tidak mudah tergugat dengan kuasa jahat, kata Uskup.
Di samping itu, uskup mengajak umat agar menggunakan kesempatan Prapaska dalam membentuk relasi dengan Tuhan, melalui sikap belas kasihan dan sikap kerendahan hati dengan sentiasa mengakui dan menyedari bahawa kita sentiasa memerlukan belas kasih Tuhan.
Uskup juga mengingatkan umat agar jangan sekali-kali membawa sikap sombong kerana doa orang sombong tidak akan didengar oleh Tuhan. Kemudahan bangunan gereja perlu digunakan bersama untuk tujuan menyembah di samping menambah dan mempertingkatkan hubungan dengan Tuhan dan sesama.
Dalam pada itu, Paderi Paroki Fr Ronny Alfred Luni dalam ucapannya berkata, “Semoga peristiwa pemberkatan bangunan ke-tiga di Mission Kemabong akan menjadi batu loncatan untuk lebih komited dan efektif membangun kerajaan Tuhan di Tenom dan Kemabong.”
Pengerusi MPM, Tony Madan pula berkata, “penat lelah dalam membuat persiapan untuk perayaan ini akhirnya bertukar menjadi sukacita apabila kita melakukannya untuk Tuhan.”