Aktiviti ‘Little Things With Great Love Challenge’ semasa program Belia Missionari ke-21 secara maya
Oleh Natasha Lansi
22 Mac 2021
KOTA KINABALU – Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG – UMS) telah menganjurkan program Belia Missionaris ke-21 yang berlangsung pada hari yang berbeza iaitu 6-7 Mac, 10 Mac dan 13-14 Mac dengan tema pilihan iaitu Kisah Para Rasul 3:6, “Emas dan perak tidak ada padaku, tetapi apa kupunyai, Kuberikan kepadamu: Demi nama Yesus Kristus, orang Nazaret itu, berjalanlah!”
Norma baharu kini tidak menghalang Lembaga Pengarah program untuk mempersiapkan satu program yang sebelumnya dikenali sebagai ‘Belia Missionaris Masuk Kampung’ yang lebih berfokus kepada pelayanan di kawasan terpilih.
Tahun ini, Belia Missionaris-21 membawa sedikit kelainan mengikut kesesuaian norma baharu iaitu dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti ‘Little Things with Great Love’ dan ‘Stay at Home & Love Your Family’ yang sesuai dilakukan di rumah masing-masing dan secara maya.
Tujuan aktiviti tersebut adalah supaya belia boleh melayani bersama keluarga atau komuniti masing-masing. Para peserta juga mempunyai “Foster Siblings” dengan melakukan beberapa aktiviti iaitu perkongsian bersama dan “A Night to Remember”.
Sesi ‘You are the Now of God – Menjadi Saksi Kristus’ yang disampaikan oleh Sr Jossie Sili telah membantu peserta melihat tentang realiti dunia sekarang dan membawa mereka untuk melihat semua itu dengan mata Tuhan agar mempunyai sikap kepedulian dan keikhlasan dalam tindakan yang dilakukan
Sesi kedua ‘Little Flower of Jesus’ yang disampaikan oleh alumni CSG-UMS, Shella Sijan, berkongsi tentang erti pelayanan dan mendedahkan teladan St Therese of Lisieux. Menerusi teladan St Therese, peserta dibawa untuk mencontohi teladan pelayanan St Therese dan memberi peneguhan kepada peserta bahawa perbuatan tidak diukur dengan kehebatan tetapi dengan kasih yang disertai dalam perbuatan tersebut.
Selesainya program, para peserta turut disedarkan bahawa pelayanan mereka tidak berhenti di program ini sahaja dan diberikan peneguhan supaya terus melayani Tuhan dalam norma baharu ini.
Gambar peserta Belia Missionari ke-21