Fr Wilfred Atin sedang diperkenalkan kepada seorang calon pilihan oleh Pengerusi Kateketikal Paroki Penampang, Dr Freddie Robinson semasa Upacara Pemilihan (Rite of Election) di Gereja St Michael pada 22 Feb 2021 (Gambar: JJ / Soccom Penampang)
Oleh Johannes Jimmy
Mar 17 2021
PENAMPANG – Seramai 46 calon daripada kelas golongan dewasa telah diterima secara rasminya melalui Upacara Pemilihan (RCIA Rite of Election) pada 22 Feb 2021 di Gereja St Michael, Penampang.
Pemilihan secara khusus ini pada lazimnya disempurnakan oleh Uskup Agung John Wong di peringkat keuskupan yang berpusat di Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu, namun pada kali ini terpaksa dilakukan oleh Paderi Paroki Fr Wilfred Atin disebabkan kekangan kawalan pergerakan bersyarat pandemik COVID-19 yang masih berkuatkuasa.
Sakramen 3-dalam-1 ini adalah wajib dalam memenuhi doktrin inisiasi menjadi iman Katolik sempurna iaitu Sakramen Baptis, Komuni dan Pengurapan Minyak Krisma. Proses pakej ini adalah khas bagi golongan matang yang sudahpun memahami erti kehidupan, dan dengan niat suci mahu mengimani iman Katolik secara mendalam yang membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Kristus yang penuh melalui Gereja Katolik.
Fr Wilfred dalam homilinya menerangkan bahawa proses ini adalah satu perjalanan transformasi kehidupan daripada yang lama kepada yang baru. Dia menggesa semua para pilihan untuk betul-betul mengadaptasi peralihan ini dengan doa penuh kesyukuran serta kekuatan iman menuju ke acara kemuncak sakramen pada malam perayaan Paska nanti.
Para pilihan yang turut diiringi oleh penanggung masing-masing juga telah diberi taklimat terkini oleh barisan pembimbing kelas Inisiasi Kristian Dasar (IKD) khususnya dalam pembelajaran dan keperluan lain untuk membolehkan mereka senantiasa dikemaskini dengan perkembangan semasa.
Perkongsian daripada calon baptis
Fanny Laurah Jipin, 25, Kiulu, Tamparuli – “Semasa zaman kanak-kanak, saya tidak ada ketetapan untuk beribadah. Hal ini disebabkan oleh perbezaan aliran agama kedua orang tua saya. Ibu saya Katolik dan bapa saya pula Adventist (SDA).
“Walaupun begitu, ibu saya sentiasa mengajak kami adik-beradik untuk ke gereja Katolik setiap minggu. Bermula dari sana, saya mulai serasi dengan Katolik. Saya sentiasa mengikuti aktiviti kanak-kanak yang dijalankan di gereja dan menghafal doa-doa asas gereja Katolik.
“Sebelum ini juga, saya pernah mengikuti kelas IKD di gereja di tempat saya sendiri waktu berumur 16 tahun, namun saya tidak dapat menghabiskan kelas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Walaupun demikian, saya sentiasa mengikuti perkembangan dan aktiviti gereja. Syukur, Puji Tuhan, sekarang saya berpeluang untuk mengikuti kelas IKD sekali lagi. Perjalanan untuk mengenal dan menuju kepada Yesus itu sangat mencabar terutama di musim Pandemik Covid-19 ini kerana kelas secara bersemuka tidak dapat dilakukan dan hanya melalui online sahaja.
“Berkat usaha para pembimbing gereja dan semua rakan-rakan IKD, kami berjaya sampai ke saat ini. Saya berharap boleh memperdalamkan lagi iman saya terhadap Katolik dan Yesus Kristus seterusnya.”
Sinulin Sium, 24, Kota Belud – “Sepanjang perjalanan saya sebagai pelajar IKD, banyak pengetahuan yang saya pelajari di samping cabaran-cabaran yang saya hadapi. Dari segi pengetahuan saya lebih banyak belajar benda baru terutama sekali tentang apakah itu gereja, siapakah Yesus, Perintah gereja, termasuk 10 hukum perintah dan banyak lagi.
“Dari segi cabaran, perkara utama adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga masalah-masalah peribadi yang sehingga tidak boleh menghadiri kelas pada setiap minggu.
“Perkara utama yang ingin saya lakukan untuk menjadi seorang Katolik adalah dengan menerima Yesus dalam diri. Harus percaya kepadaNya dan meninggalkan ajaran dan amalan yang lain.”