Compiled by Christina David
June 17 2020
Kisah Penciptaan oleh Fr Russell Lawrine, Penasihat Rohani ACJC
“Beranak cuculah dan bertambah banyak; penuhilah Bumi dan taklukkanlah itu, berkuasalah atas ikan-ikan di laut dan burung- burung di udara dan atas segala binatang yang merayap di Bumi” (kej 1: 28). Ini bukan bermaksud kita mempunyai hak untuk mahu melakukan apa sahaja yang kita sukai dan kehendaki terhadap Bumi kita untuk mendapatkan keuntungan atau kepentingan diri sendiri.
Fr Russel Lawrine, Penasihat Rohani Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Agung Kota Kinabalu
Namun sebagai manusia yang mampu berfikir mana yang baik dan buruk, kita semua dipanggil dan diminta oleh Tuhan untuk “mengusahakan dan memelihara Bumi kita”. Tuhan telah menciptakan kita berbeza daripada ciptaan yang lain kerana dia memerlukan bantuan kita untuk mengantikan tempatnya untuk menjaga Bumi yang telah Dia ciptakan untuk kita.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita mempunyai hak untuk mengambil apa yang kita perlukan dari bumi ini untuk meneruskan kehidupan kita, namun ingatlah bahawa kita juga mempunyai kewajiban untuk melindungi dan menjamin kesinambungan kesuburan Bumi kita untuk generasi yang akan datang. Kerana akhirnya “Tuhanlah yang empunya Bumi (Maz 24:1) Dialah yang empunya “Bumi dengan segala isinya” (Ulangan 10:14).
Perjalanan kembali ke Taman Eden oleh Prof Dr Justine Sentian
Mencintai dan memulihara ciptaan Tuhan adalah suatu panggilan yang kudus dan senada dengan kenyataan Bapa Suci Francis bahawa alam sekitar adalah suatu ciptaan kolektif yang diwarisi turun temurun dan dipertanggungjawabkan kepada semua orang.
Prof Dr Justine Sentian, pakar bidang perubahan iklim, UMS Sabah dan Ahli Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan, KK
Isu perubahan iklim bumi contohnya, adalah gerakan ekologi yang relatifnya masih baru berbanding dengan isu pencemaran yang sudah lama diperdebatkan seperti pencemaran udara, air dan tanah, namun ianya dilihat sebagai suatu ancaman kritikal kepada bumi, rumah sejagat kita kerana ianya mampu merubah keseimbangan ekosistem dalam tempoh masa yang singkat. Impaknya adalah sesuatu yang dahsyat, mencemaskan dan tiada batasan.
Dalam hal ini, kita harus mendukung usaha ke arah pertobatan ekologi bagi membantu melestarikan aktiviti manusia dan seterusnya membantu melandaikan lekuk perubahan iklim. Apabila kita melakukan perkara ini, kita sudah menjalankan tanggungjawab kita menjaga bumi ini dan kita sudah boleh meraikan warisan ciptaan ini kepada generasi masa akan datang dengan penuh kesyukuran.