Fr Paul Lo, Fr Russell Lawrine bersama pembimbing kelas PMG dan calon penerima Komuni Suci Pertama di Katedral Hati Kudus pada 14 Dis
Oleh Averil Simon
Dis 16 2021
KOTA KINABALU – Seramai 81 kanak-kanak menerima Komuni Suci Pertama tahun ini di Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu pada 14 Dis semasa Misa jam 7.00 malam yang disempurnakan oleh Fr Paul Lo dan dibantu oleh Fr Russell Lawrine.
Para calon terdiri daripada 64 anak didik Kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) BM manakala 17 anak didik pula daripada RCIA.
Penerimaan Komuni Suci ini dirayakan dalam keadaan tertutup dan terhad hanya kepada calon, ibu bapa, katekis dan serta pelayan gereja dengan mengikuti Standrad Operational Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rumah-rumah ibadat.
Dalam homili semasa Misa, Fr Paul berkata perkara yang amat penting bagi kita sebagai Kristian Katolik adalah pergi menghadiri ke gereja pada setiap hari minggu, kerana di sanalah kita mampu berkumpul bersama-sama untuk merayakan Misa Kudus dan menerima Yesus Kristus iaitu melalui Komuni Suci. Hal ini kerana Yesus Kristus dapat hadir di dalam diri kita pada setiap Komuni Suci yang kita terima melalui perayaan Misa Kudus.
Dalam masa yang sama, gereja turut merayakan hari Pesta Santo Yohanes Salib. Fr Paul berkata bagi Santo Yohanes, Yesus Kristus merupakan asal ilham bagi dia dan juga merupakan asal iman bagi kita semua. Kita sebagai seorang Katolik dengan membuat tanda salib setiap kali kita berdoa, ia mengingatkan kita kepada Yesus Kristus yang telah mati di kayu salib untuk kita semua bagi membawa kita keselamatan. Oleh sebab itu, gereja merayakan Misa Kudus bagi memperingati akan korban salib Yesus, secara Sakramen iaitu melalui Sakramen Ekaristi dan salib Yesus Kristus itulah merupakan pusat atau dasar iman kita.
Akhir sekali, Fr Paul berdoa agar dapat membantu para penerima Komuni Suci Pertama ini, sentiasa mencintai Yesus Kristus lebih mendalam lagi dengan pergi menghadiri Misa Kudus untuk menerima komuni suci dan pergi membuat pengakuan agar layak menerima komuni suci serta hadir ke Misa Kudus.
Pada 12 Dis yang lalu, 81 calon ini turut melakukan Pengakuan Dosa yang pertama sebelum menerima Komuni Suci.
Rekoleksi secara online
Rekoleksi secara online juga diadakan pada 3 Dis yang lepas bagi membantu anak-anak didik ini mempersiapkan diri mereka bagi menerima Komuni Suci pertama mereka.
Semasa rekoleksi, Fr Sunny Chung berkongsi secara mendalam dan terperinci mengenai tujuh sakramen Gereja, khususnya Sakramen Ekaristi kepada 64 calon daripada Kelas PMG BM. Ibu bapa dan pembimbing turut mengikuti rekoleksi ini.
Fr Sunny berkata Ekaristi adalah perjamuan kesyukuran bagi memperingati akan Tuhan Yesus iaitu dalam bentuk roti sebagai tubuhnya manakala anggur sebagai darahnya bagi menebus dosa kita agar kita mendapat penyelamatan kekal.
Dia menambah bahawa melalui Kristus kita menjadi anak-anak Tuhan Bapa, namun adakah kita benar-benar menerima dia sebagai Tuhan dan Bapa kita? Jika kita menerimanya kita harus membuktikannya, oleh itu menjadi Katolik bukan kewajiban tetapi merupakan cara hidup kita katanya.
Tambahnya lagi menjadi seorang Katolik, kita haruslah menghidupi akan kehidupan kita sebagai anak-anak Tuhan dan sebagai seorang yang mempunyai Kristus di dalam diri kita.