Umat berdoa rosari di salah satu perhentian di Bukit Maria semasa program ziarah pada 16 Sep 2022
Oleh Anatasia Thomas
Sep 28 2022
SANDAKAN – Hampir 80 umat pelbagai golongon umur dari chapel St Petrus, Sg Manila telah mengikuti pendakian ke Bukit Maria, Katedral St Mary dalam program ziarah julung kali pada 16 September lalu.
Umat bertolak daripada chapel St Petrus bermula pada jam 7.30 pagi dengan menaiki bas yang disediakan dan juga dengan pengangkutan sendiri dan tiba di perkarangan Katedral St Mary pada jam 8.30 pagi.
Aktiviti dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Linus Sondungan, pengerusi chapel St Petrus, dan seterusnya taklimat ringkas oleh Edward Masigi, pengerusi MMV Katedral, mengenai garis panduan dan operasi standard (SOP) semasa berada di kawasan hutan.
Fr David Garaman mengalu-alukan kedatangan mereka terutamanya yang pertama kali ke Bukit Maria. Di dalam ucapannya, Fr David memberi peringatan bahawa pendakian ini bukan sekadar mengisi masa untuk berjalan-jalan tetapi merupakan perjalanan ziarah rohani.
Bukit Maria adalah tempat bagi umat untuk berdoa dan mengalami sendiri pengalaman iman dan rohani yang dilakukan semasa mendaki kata Fr David, lalu memimpin doa bagi memberkati perjalanan pendakian.
Aktiviti pendakian dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama memulakan perjalanan doa rosari pada jam 9.10 pagi dengan mengambil peristiwa sedih, disusuli dengan kumpulan kedua dan ketiga. Setiap kumpulan dipimpin oleh para sukarelawan bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar. Sr Regina juga turut menyertai para umat dalam pendakian tersebut. Umat telah menyediakan lilin dan meletakkannya di beberapa tempat khas semasa pendakian secara bergilir.
Pada jam 10.50 pagi, para umat telah selesai berdoa rosari di semua perhentian dan berkumpul di chapel Bukit Marian untuk sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan sebelum meneruskan perjalanan turun bukit.
Gambar kenang-kenangan di atas Bukit Maria
Sebelum berangkat pulang, para umat menikmati makanan yang disediakan. Pengerusi chapel St Petrus mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dengan pendakian Bukit Maria. Setelah selesai menjamu selera, para umat mengambil peluang untuk membeli barangan kudus di Kedai Buku Marian.
Aktiviti pendakian ini diharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Kerjasama dan semangat pelayanan daripada para umat diharap dapat dipupuk melalui program ziarah ini.