Oleh SOCCOM Kateketikal
Oct 22 2022
TELUPID – Seramai 74 bayi dan kanak-kanak menerima Sakramen Pembaptisan di Gereja St Martin pada 24 Sept 2022. Upacara itu disempurnakan oleh dua orang paderi iaitu Fr. Christopher Ireneus dan Fr. Stephen Esguerra.
Rekod ini merupakan yang tertinggi pernah dicatat dalam sejarah pembaptisan bayi dan kanak-kanak yang dijalankan di paroki St Martin, Telupid.
Paderi paroki, Fr. Christopher Ireneus dalam homilinya memberikan soalan renungan kepada ibu bapa yang hadir berkenaan dengan keperluan anak mereka dibaptis. Keselamatan dan kehidupan kekal untuk anak mereka, inilah yang diharapkan oleh para ibu bapa.
Justeru, ibu bapa perlu sentiasa peka dan ambil peduli dengan perkembangan iman anak mereka, bukan sekadar hadir membawa anak mereka untuk dibaptis kemudian menyerahkan sepenuhnya kepada katekis pembimbing untuk membentuk iman anak mereka.
Selaku katekis pertama dalam keluarga, ibu bapa bertanggungjawab dalam memupuk iman anak mereka. Ibu bapa adalah contoh terdekat kepada anak mereka dan perlu berusaha agar anak mereka dapat mengenal Kristus dengan lebih dekat, mengenal gereja dan komuniti gereja itu sendiri.
Selain ibu bapa, penanggung juga memainkan peranan yang penting dalam perjalanan hidup anak tanggungan mereka. Sebagai penanggung, penting untuk mereka mengambil tahu akan perkembangan iman anak yang ditanggung dan menjadi saksi akan perkembangan iman mereka serta membimbing mereka agar dapat menjadi alat untuk membangun gerejaNya.
Pada akhir upacara pembaptisan, paderi paroki mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan upacara pembaptisan bayi dan kana-kanak ini.