Perarakan pembawa sepanduk para Santo dan Santa penaung bagi KKD masing-masing
Oleh Monica (Foto: Jaymar, Monica, Shanda, Victor dan Nandes)
Oct 10 2023
LAHAD DATU – Sempena Hari Ulang Tahun Paroki St Dominic yang ke 71 tahun, gereja meraikan hari yang bermakna ini dengan tema “Meraih, mendengar dan berjalan bersama sebagai Gereja Sinodal”.
Sambutan Hari Paroki ini telah dirasmikan pada 2 Julai yang lalu di dalam Misa Kudus oleh Rektor Paroki Fr Stanley W Matakim.
Pelbagai aktiviti telah dilangsungkan selama sebulan sehingga ke acara kemuncak pada 12 dan 13 Ogos lalu.
Acara kemuncak telah dimulakan pada 12 Ogos 2023, lebih kurang jam 10 pagi dengan program mewarna kanak-kanak, pertunjukkan fesyen kanak-kanak yang memperagakan baju-baju tradisional mengikut suku kaum masing-masing dan pertandingan menyanyi.
Keesokan harinya, 13 Ogos 2023, acara diteruskan dengan Misa Kudus Kesyukuran yang dirayakan oleh Uskup Julius Dusin Gitom dibantu oleh Fr Stanley.
Misa di mulakan dengan perarakan masuk oleh ketua-ketua dan wakil bagi 37 KKD yang berada di bawah naungan Paroki Lahad Datu, membawa sepanduk para Santo dan Santa penaung bagi KKD masing-masing, pelayan Altar dan semua pelayan Liturgi, Paderi Paroki Fr Stanley Matakim serta Uskup Julius Dusin Gitom.
“Hari ini penuh rahmat bagi kita untuk merayakan pesta hari paroki, kerana itulah sebenarnya gambaran hidup kita sebagai manusia, kita merayakan dengan sukacita kerana kita merasai pelbagai rahmat yang diberikan Tuhan kepada kita,” demikian kata-kata Uskup Julius dalam homilinya.
Beliau memberi pesanan kepada semua umat agar hidup dengan iman Tuhan sebagai pengikut Injil dengan semangat gereja Sinodal, seiring dengan Keuskupan untuk berjalan bersama.
Setelah Misa selesai, sambutan dilanjutkan dengan acara pentas bertempat di dewan terbuka gereja di mana upacara gimik perasmian dilakukan dengan paluan gong sebanyak 7+1 kali dan doa pembukaan oleh Uskup Julius diikuti acara pemotongan kek.
Acara diserikan lagi dengan persembahan pentas oleh beberapa KKD yang terlibat dan penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang telah diadakan.
Lebih 1000 umat dari pelbagai suku kaum dan peringkat usia hadir dalam perayaan itu. Sementara itu terdapat pelbagai jenis jualan gerai dan melalui penjualan gerai itu dapat memberikan sumbangan kepada tabung pembangunan gereja.
Perjalanan acara itu dikendalikan oleh Majlis Pastoral Paroki (MPP) dengan kerjasama komuniti-komuniti yang lain. – Dospo