Fr Paul Lo memberikan Tubuh Kristus kepada penerima komuni suci pertama
By Ave Simon
Oct 31 2022
KARAMUNSING – Seramai 61 kanak-kanak menerima Komuni Suci Pertama tahun ini di Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu dalam Misa Kudus Bahasa Malaysia yang dipimpin oleh Fr Paul Lo pada 16 Oktober lalu.
Para calon terdiri daripada 43 anak didik Kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) BM manakala 18 anak didik pula daripada RCIA.
Penerimaan Komuni Suci kali ini dirayakan bersama-sama dengan umat selepas kerajaan telah mengumumkan bahawa Malaysia telah memasuki Fasa Endemik pada 1 April lepas dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Dalam homili semasa Misa, Fr Paul menegaskan dan menasihatkan kepada ibubapa penerima komuni suci agar sentiasa membawa anak-anak mereka ke gereja walaupun telah menerima Sakramen Ekaristi, agar mereka mampu menerima Tubuh dan Darah Kristus pada setiap hari minggu.
Fr Paul turut berkata, “Jika kita sering kali menghadiri ke gereja pada setiap hari minggu kita bukan sahaja menerima Ekaristi tetapi kita juga akan mendengar sabda Tuhan kerana, menurut Santo Paulus iman itu datang daripada sabda Tuhan.
“Oleh sebab itu, dalam setiap perayaan Ekaristi serta perayaan penting dalam gereja, sabda Tuhan akan diwartakan. Pada masa yang sama, jika kita merenungkan sabda yang diwartakan kepada kita ia mampu menguatkan iman kita, kerana tanpa sabda Tuhan kita tidak mampu untuk merayakan misteri iman kita ini,” katanya.
Akhir sekali, Fr Paul menasihatkan kepada penerimaan komuni suci agar sentiasa berdoa tanpa berputus asa supaya mereka mampu untuk mengatasi segala cobaan yang akan mereka ditempuhi pada masa akan datang.
Fr Paul bergambar bersama penerima komuni suci pertama dan pembimbing PMG