Gambar kenangan 60 orang peserta Seminar Kesedaran Panggilan
Oleh Melissa Floly
August 9 2022
KENINGAU – Seramai 60 orang peserta menyertai Seminar Kesedaran Panggilan anjuran belia Zon Minawo, Paroki Katedral St Francis Xavier Keningau pada 23 Julai lalu yang berlangsung dari jam 7.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.
Seminarian Appolonius Yakis memulakan perkongsian mengenai Erti Kehidupan dan Panggilan Hidup di mana belia dibawa mengenal lebih dalam tentang makna kehidupan mereka.
Perkongsian tentang Panggilan Menjadi Religius oleh Fr David Gasikol menekankan kepentingan semangat berjalan bersama dalam pelayanan.
Seterusnya, dalam perkongsian Jika George, Pengerusi KUK St Joseph Minawo pula membawa para peserta mengarahkan hati dan fikiran agar mampu mendengar serta menyedari kehendak dan rencana Tuhan dalam hidup mereka.
Perkongsian terakhir adalah Pilihan Hidup dan Masa Depan oleh Nancy Nelly Joneh, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki yang bertumpu kepada bakat yang ada dalam diri para belia.
Nancy menyatakan kepentingan menetapkan visi dan harapan belia untuk diri mereka di masa hadapan.
Rev. Fr David Gasikol menerima saguhati daripada Koordinator Yout Fiesta Fevian Felix
Selesai program, majlis diteruskan dengan Majlis Makan Malam Bersama Family of St Joseph.
Para belia, Nancy Nelly, Henry Yamorong, Pengerusi Zn Minawo, Jika George dan semua umat dari Zon Minawo menyambut kehadiran tetamu jemputan di dewan serbaguna Kg Minawo Laut.
Para aspiran, seminarian dan Fr David Gasikol selaku pendamping bagi Rumah Pembentukan St Joseph turut hadir sebagai tetamu jemputan.
Majlis dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Seminarian Appolonius Yakis.
Majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan daripada Koordinator Fiesta Belia, Fevian Felix.
Jika George menyimpulkan ucapannya di mana belia Zon Minawo telah melaksanakan tanggungjawab mengendalikan program ini dengan baik.
Fr David juga mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua umat di KUK St Joseph Minawo atas kerjasama dan kebersamaan.
Klerus itu juga berharap agar hubungan baik ini terus terjaga.
“Suatu hari nanti pasti akan ada anak muda yang menyahut panggilan di tempat ini”, kata Fr David sebelum mengakhiri ucapannya.
Majlis diisi dengan persembahan nyanyian daripada aspiran, cabutan nama bertuah dan persembahan istimewa daripada Kerasulan Hidup Keluarga Katolik KUK Minawo (KHKK) serta tayangan video oleh KBK KUK Minawo.
Majlis ditutup dengan doa dipimpin oleh Fr David pada jam 10.00 malam.