Oleh Alfred Tining (SOCCOM KB)
May 24 2022
KOTA BELUD – Lawatan Pastoral Paderi Paroki St Edmund, Fr. Ambrose Atang ke Chapel St Theresa Avila Bungaliu iaitu salah satu stasi luar paroki Kota Belud pada 8 Mei 2022 merupakan lawatan 5-dalam-1 iaitu Lawatan Misa minggu ke-4 dalam musim Paska, Minggu Panggilan Sedunia, Hari Ibu dan Pembaptisan kanak-kanak serta penerimaan Komuni Pertama.
Dalam homilinya, beliau menerangkan tentang pembacaan pertama yang Kristus itu bukan lagi milik satu-satu bangsa tetapi milik semua bangsa maka itu marilah kita terus berusaha untuk memiliki Yesus sebagai Juruselamat kita, mengimani dan mengakui Dia di tengah-tengah dunia yang belum mengenal Yesus supaya Yesus pun tidak menyangkal kita di hadapan BapaNya.
Dalam sesi ucapan, Fr Ambrose mengucapkan syabas kepada yang baru dibaptis termasuk lima penerima Komuni Pertama. Ini adalah hasil yang baik di chapel ini dan beliau gembira dalam penambahan umat disini. Beliau mengajak umat untuk terus menyokong mereka dalam doa agar iman mereka akan terus berkembang dan mahu terus melayani dimana saja mereka berada nanti.
Terdahulu pengerusi chapel St Theresa Avila, Perantau Asud, mengucapkan tahniah kepada para baptisan baru dan mengucapkan terima kasih kepada Fr. Ambrose Atang yang telah menyempurnakan upacara tersebut. Terima kasih juga diucapkan kepada para pembimbing yang diketuai oleh Kat. Lanjuini, para penanggung dan semua ibubapa yang terlibat. Kerjasama seperti ini memang sangat diharapkan demi menjayakan sesuatu program yang dirancangkan.
Selepas Misa Fr. Ambrose memberkati semua yang bergelar ibu sempena Hari Ibu sedunia. Acara diteruskan dengan pemotongan kek, satu untuk para ibu dan satu untuk para baptisan baru/komuni pertama. Makan tengahari bersama yang disediakan oleh umat yang hadir, cabutan nama bertuah dan persembahan pentas dari baptisan baru.