Oleh Juanis Marcus
KENINGAU – Seramai 403 calon penguatan menerima olesan minyak Krisma selepas melalui empat tahun pembelajaran dalam Misa Kudus yang diadakan di Dataran Keuskupan Keningau yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong pada 18 Mei lalu.
Calon-calon tersebut datang dari Pusat Katedral St Francis Xavier, (KSFX) Keningau, Naungan Tatal, Naungan Linsosod, Bingkor, Toboh Laut, Kepayan, Magatang, Bulu Silou, Minawo, Liau dan Biah.
Turut membantu dalam Misa tersebut adalah Msgr Gilbert Lasius, Fr Joseph Gapitang dan Fr Bede Anthonius.
Uskup Cornelius Piong dalam homili berpesan kepada para calon bahawa, penerimaan Sakramen Krisma menandakan bahawa hidup kita ini harus tidak bersikap pasif tetapi aktif melayani dalam gereja. “Selepas kita dibaptis, kita tidak boleh bersikap diam-diam sahaja, tetapi harus mempertingkatkan pengenalan kita tentang Tuhan, mempertingkatkan kasih kita kepada Tuhan, dan itu semua boleh kita lakukan melalui pelayanan yang aktif dalam gereja,” jelas Uskup itu.
Uskup itu menjelaskan lagi, bagi pelayanan yang berkesan setiap kita haruslah mempunyai hubungan yang erat dengan Yesus Kristus. “Seperti yang kamu sering dengar, agar hubungan kita dengan Tuhan sentiasa erat kita harus meluangkan masa setiap hari untuk berdoa, berdoa peribadi, doa bersama, membaca dan merenungkan FirmanNya serta merayakan Ekaristi setiap minggu. Apabila anda telah melakukan ini, jangan lupa satu perkara yang terpenting iaitu iman kita harus bersaksi,” ulas Uskup Cornelius Piong.
Uskup Cornelius Piong yang akan meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-75 pada tahun ini turut menjelaskan mengapa iman kita sebagai Katolik harus diwartakan agar kita sentiasa menyedari bahawa kita ini memerlukan Tuhan. “Iman yang tidak bersaksi sekiranya dibiarkan akan menjadi pudar sehingga kita merasakan kita tidak memerlukan Tuhan,” ulasnya.
Menutup homilinya, Uskup Cornelius Piong berpesan kepada para penerima Krisma agar sentiasa berdoa untuk memohon bantuan Roh Kudus. “Roh Kudus tidak pernah memaksa untuk menguasai hidup kita tetapi kita yang harus memohon agar ia berkarya dalam hidup kita, seperti pesan Paulus kepada Timotius agar mengobarkan Roh yang ada dalam dirinya.”
Sebagai tanda kesyukuran, para penerima Krisma akan diraikan pada hari Pentakosa melalui suatu program anjuran Komiti Katekatikal KSFX iaitu “Pesta Malam Khabar Gembira”.