Penerima Sakramen Komuni Suci disempurnakan oleh Fr Rayner Bisius pada 22hb Januari 2023 ( Gambar ofeh SOCCOM Kota Marudu)
SOCCOM Kota Marudu
Feb 18 2023
KOTA MARUDU – Pada Jan 22 yang lalu, sebanyak 40 orang kanak-kanak telah menerima Sakramen Komuni dalam Perayaan Ekaristi di Gereja St Theresa, Kota Marudu.
Dalam perayaan Misa Kudus pagi pada hari tersebut, semua kanak-kanak telah mengenakan pakaian putih sebagai tanda mereka bersedia untuk menerima Tubuh dan Darah Kristus dalam kehidupan mereka. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Paderi Paroki iaitu Fr Rayner Bisius.
Sebanyak 17 orang kanak-kanak lelaki dan 23 orang perempuan telah menerima Tubuh dan Darah Kristus Yesus setelah ditangguhkan upacara penerimaannya pada Disember tahun lalu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Dalam homilinya Fr Rayner telah memberi dorongan dan cabaran kepada semua kanak-kanak agar tetap giat dalam semua aktiviti pelayanan di gereja.
Beliau berpesan bahawa mereka merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan dalam gereja dan seterusnya sebagai tulang belakang gereja pada masa hadapan. Selain itu, diharapkan mereka tetap mendalami iman kepercayaan kepada Tuhan Yesus.
Selepas pemberkatan akhir oleh Fr Rayner, buah limau turut dibawa ke hadapan altar untuk diagih-agihkan. Ianya disusuli dengan pemotongan kek sebagai menyatakan rasa penuh syukur kanak-kanak yang telah menerima Sakramen Ekaristi bersama-sama dengan semua umat serta ibubapa mereka.
Akhir sekali telah diadakan sesi merakamkan album kenangan dimana para penerima Sakramen Ekaristi bergambar bersama-sama dengan paderi paroki.