Pelayan Komuni di bawah Paroki St Paul Dontozidon bersama Fr Russell Lawrine, Pembantu Rektor Paroki
Oleh Nelson Fernandez
Sep 22 2021
DONTOZIDON – “Kita dipanggil untuk melayani bukan untuk dilayani”, inilah ayat panggilan sebagai seorang Pelayan Komuni yang diucapkan oleh Fr Russell Lawrine dalam Misa Kudus Pengutusan Pelayan Komuni pada 19 Sep di Gereja St Paul.
Dalam pengutusan ini, seramai 22 pelayan komuni yang lama dan baharu telah diutus untuk melayani di Paroki St Paul Dontozidon, Our Lady Queen of Peace Kobusak dan St John The Baptist Kopungit untuk penggal yang baharu. Walaubagaimanapun, Pelayan Komuni dari Gereja St John the Baptist tidak dapat hadir pada hari tersebut atas sebab tertentu.
Dalam Misa Kudus ini, kehadiran mereka ke Gereja adalah mengikuti ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak MKN dan Gereja.
Misa Kudus yang bermula jam 8.00 pagi telah memberi kegembiraan kepada umat terutamanya para pelayan komuni yang sudah lama tidak mengikuti Misa secara bersemuka.
Di dalam homilinya, Fr Russell berkongsi tentang kehidupan pelayanannya sebagai seorang seminarian di mana terdapat dua cabaran dalam fikiran dan dirinya sendiri iaitu dia bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi dan banyak kekurangan, dan kedua ialah keadaan keluarganya sendiri. Ini kerana bapanya jarang hadir ke gereja, hanya dua kali setahun dan setiap hari minggu selalu bersama dengan rakan-rakan, oleh itu Fr Russell berfikir samada dia layak untuk menjadi seorang paderi.
Fr Russell berkata lagi pembacaan pada hari minggu itu memberitahu umat bahawa ada dua berita baik yang mahu disampaikan kepada kita.
“Yang pertama kita harus bersedia menghadapi cabaran dan rintangan dan itulah sebabnya pembacaan Injil pada hari ini, Tuhan Yesus memberitahu pada murid-muridNya yang dia akan mati di kayu salib dan tiga hari kemudian dia akan dibangkitkan.
“Yesus sudah memberitahu perjalanan hidupnya namun murid-muridnya tidak akan mempercayai. Kenapa seorang yang banyak membuat mukjizat dan kenapa seseorang yang banyak melakukan perkara yang luar biasa akhirnya mati di kayu salib.
“Perjalanan Yesus ini sungguh banyak cabaran, dan pembacaan Injil memberitahu kita untuk mengikut Tuhan dan untuk menjadi pelayan Tuhan, kita haruslah bersedia dan berhadapan dengan apa pun yang berlaku dalam pelayanan.
“Dalam pelayanan bukan kehidupan senang saja, tapi mesti ada cabaran. Kita harus bersedia dalam cabaran tersebut kerana kesengsaraan adalah sebahagian daripada hidup kita.
“Apabila kita berhadapan dengan masalah dan kita dapat selesaikannya, kita akan menghargai kegembiraan yang kita perolehi. Ini kerana kita betul-betul berhadapan dengan masalah itu.
“Yang kedua, mengapa Tuhan Yesus mengambil contoh budak-budak kecil? Tuhan mengambil budak-budak kecil ini sebagai contoh murid-muridnya untuk kita pada hari ini, bukan untuk menjadi seperti budak-budak. Tetapi supaya di dalam pelayanan, kita sentiasa ada kerendahan hati dan selalu ada komunikasi dengan Tuhan, “have connection with the Lord”.
“Kerana sebagai budak-budak mereka tidak faham dan bila mereka perlukan sesuatu mereka akan mencari orang dewasa seperti bapa atau ibu mereka. Jadi pada hari ini, Tuhan memberitahu kita janganlah kita ada sikap tinggi diri, kita disuruh untuk sentiasa ada hubungan yang baik dengan Tuhan dan janganlah menjadi ‘starring’ bila sudah dipilih menjadi pelayan komuni.
“Ini kerana kita membawa Kristus kepada orang lain maka harus sentiasa bersikap rendah hati. Itu sebab mengapa Tuhan mengambil budak kecil sebagai contoh, agar kita harus ada hubungan baik dengan orang lain.
Pada masa yang sama, janganlah putus harapan, jangan lari dari Tuhan, Dia tahu masalah kita, Dia tahu setiap peribadi kita, dan yang paling penting Dia tahu tujuan kita untuk melayani dan untuk menjadi pelayan yang baik,” akhir kata Fr Russell.
Pada akhir Misa Kudus, Fr Russell menyerahkan surat pelantikan kepada semua pelayan komuni dan diterima oleh wakil ketua setiap Gereja yang hadir.