Oleh Averil Simon
KOTA KINABALU – Seramai 163 pelajar sekolah minggu menerima Komuni Suci Pertama pada 27 Okt 2024, di Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu. Penerima Komuni Suci terdiri daripada 122 anak didik kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) dan 41 Rite of Christian Initiation of Adults (RCIA) Bahasa Melayu.
Penerimaan Komuni Suci itu disempurnakan oleh Fr Terans Thadeus dan dibantu oleh Fr Paul Lo dalam Misa Kudus Bahasa Melayu.
Dalam homilinya, Fr Terans berkata kepada semua penerima Komuni Suci Pertama bahawa baju warna putih yang mereka pakai itu melambangkan kemurnian dan kesucian di mana baju puith juga mengingatkan mereka akan hari pembaptisan.
“Semasa kita menerima Tubuh dan Darah Kristus, kita menjawab dengan perkataan, Amen. Bermaksud, ‘Aku Percaya’, kerana kita percaya bahawa kita menerima Yesus dalam Ekaristi. Juga sebagai umat Katolik, kita tidak menganggap Ekaristi itu sebuah simbol atau lambang tetapi kita melihat Ekaristi sebagai salah satu keindahan dalam Gereja Katolik, di mana kita benar-benar dapat melihat Yesus dalam Ekaristi.
“Namun kita sering kali gagal melihat Yesus dalam Ekaristi, disebabkan halangan atau rintangan yang kita hadapi, kebanyakannya datang daripada diri kita sendiri iaitu mementingkan diri sendiri atau ego dan kerana kemalasan kita. Itu sebabnya mengapa penting untuk kita pergi membuat pengakuan dosa sebelum menerima Ekaristi, agar kita benar-benar dapat melihat Yesus serta merasakan kehadiranNya melalui Ekaristi.” kata Fr Terans.
Sebelum itu, semua 122 calon komuni daripada PMG Bahasa Melayu juga telah mengikuti retret di Pusat Retret Pace Bene, Papar pada 5-6 Okt sebagai persiapan mereka menerima Sakramen Ekaristi. Dalam retret itu, ibu bapa turut hadir dalam program selama dua hari bagi melibatkan diri mereka bersama-sama dalam PMG.
Semua penerima Komuni Suci lulus dalam temu duga yang melayakkan diri mereka untuk menerima sakramen.