Fr Benedict Runsab (tengah) bersama KOMSOS paroki St Patrik Membakut dan pemenang-pemenang kuiz sempena Hari Komunikasi Sedunia ke-56
Oleh Pat/KOMSOS SPM
June 7 2022
MEMBAKUT – Seramai 16 orang umat St Patrick Membakut telah memenangi kuiz Hari Komunikasi Sedunia ke-56 iaitu enam orang pemenang utama kategori dewasa dan 10 orang pemenang utama kategori kanak-kanak.
Penyampaian hadiah telah dilakukan semasa Misa Kudus perayaan pada 29 Mei 2022 yang lalu di gereja ini.
“Mendengar dengan telinga hati bermaksud peka dengan perkara yang berlaku di persekitaran. Jika hanya mendengar dengan telinga tetapi tidak masuk ke dalam hati, seumpama mendengar tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan”.
Demikian jawapan Erni Yohanes, 37, pemenang terbaik kuiz sempena Minggu Komunikasi Sedunia anjuran KOMSOS paroki St Patrick Membakut.
“Kita mendengar supaya kita boleh menghibur orang lain, melakukan apa yang perlu dilakukan, serta mengambil ikhtibar,” katanya lagi.
Amanda Tan Yi Ting, 11, pemenang utama kategori kanak-kanak pula berkata mendengar dengan telinga hati bermaksud mendengar dengan hati nurani.
Sebelum itu, sebuah video singkat mengenai tema Minggu Komunikasi Sedunia telah dipertontonkan kepada umat.
Pada tahun ini, Bapa Suci Franciskus telah menetapkan tema Hari Komunikasi Sedunia yang ke-56 sebagai “Mendengar dengan telinga hati”. Berdasarkan tema dan pesan Bapa Suci sempena sambutan ini, KOMSOS paroki St Patrick Membakut telah mengambil usaha mengedarkan soalan-soalan kuiz yang terbahagi kepada kategori dewasa dan kanak-kanak ke seluruh paroki satu minggu sebelum Minggu Komunikasi Sedunia dirayakan.
Pengerusi KOMSOS paroki, Peter Paulus berkata, objektif utama pelaksanaan aktiviti kuiz ini adalah agar umat dapat membaca pesan Bapa Suci Franciskus dengan teliti, memahami dan menghayati pesan tersebut bukan sahaja di kalangan umat dewasa tetapi juga kanak-kanak.
Katanya lagi, walaupun aktiviti ini telah dilaksanakan dengan sederhana, namun telah mampu melibatkan ramai umat. Dia bersyukur atas sokongan paderi paroki, MPP dan umat perseorangan yang telah memberi sumbangan hadiah bagi aktiviti tersebut.
Peter juga berharap agar umat akan menghidupi sikap mendengar dengan telinga hati kerana sikap mendengar ini adalah juga asas kepada tema Keuskupan Keningau iaitu berjalan bersama di dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus.