Fr Christopher Ireneus semasa upacara pembaptisan bayi dan kanak-kanak (Foto: SOCCOM Kateketikal)
Oleh SOCCOM Kateketikal
May 3 2024
TELUPID – Pada 23 Mac 2024 lalu, seramai 140 orang bayi dan kanak-kanak telah dibaptis dalam upacara pembaptisan yang disempurnakan oleh paderi paroki, Fr Christopher Ireneus. Sebelum upacara pembaptisan, paderi terlebih dahulu telah memberikan penerangan tentang tatacara yang perlu dipatuhi bagi memastikan perjalanan upacara pembaptisan berjalan dengan lancar.
Paderi semasa homilinya berpesan kepada umat yang hadir terutama sekali ibu bapa dan penanggung. “Anak-anak yang dibaptis pada hari ini adalah atas pilihan ibu bapa sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Pembaptisan ini telah menjadikan anak-anak ini sebagai anggota gereja dan ibu bapa selaku katekis pertama kepada anak-anak bertanggungjawab untuk membawa anak-anak ini mengenal gereja.
“Ibu bapa juga sepatutnya menjadi teladan pertumbuhan iman kepada anak-anak. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membawa anak ke gereja dan membimbing mereka untuk berdoa. Di rumah, berdoa bersama keluarga sebelum dan selepas makan boleh dipraktikkan dan secara tidak langsung rutin ini akan dicontohi anak-anak.
“Anak-anak sekarang hidup dalam zaman yang sangat mencabar iman bagi seorang Katolik. Oleh itu, peranan ibu bapa penting bagi membantu anak-anak untuk mengenal Tuhan dan identiti sebagai seorang Katolik. Jika perkara ini dipandang ringan, tidak mustahil suatu masa nanti iman anak-anak ini mudah goyah. Oleh itu, ibu bapa jangan pernah merasa penat untuk mendidik anak-anak untuk mengimani iman Katolik.
“Penanggung juga perlu tahu tanggungjawab sebagai seorang penanggung. Kamu perlu berjalan bersama dengan ibu bapa dan sentiasa mengambil tahu akan perkembangan iman anak-anak ini agar mereka dapat menghidupi iman mereka sebagai seorang Katolik.
“Anak-anak ini adalah aset gereja yang akan meneruskan pelayanan dalam gereja pada masa hadapan. Jika mereka tidak mendapat bimbingan yang betul, gereja ini akan menjadi kosong, hanya bangunan yang tidak berpenghuni.” Demikianlah kata-kata Fr Christopher mengakhiri homilinya sebelum menjalankan upacara pembaptisan. – Dospo