Uskup Agung John Wong dan Fr Paul Lo bergambar bersama 78 penerima Sakramen Penguatan
Oleh Nelson Fernandez
Nov 11 2022
DONTOZIDON – “Kamu akan menjadi saksi dan tentera Yesus kepada mereka yang memerlukan, berdoa selalu, kuatkan iman anda agar Roh kudus sentiasa bekerja dalam diri anda”.
Demikian ungkapan Uskup Agung John Wong dalam homilinya dikhaskan kepada para penerima Sakramen Penguatan di Paroki St Paul Dontozidon pada 5 Nov 2022.
Dalam Misa itu, uskup agung telah dibantu oleh Fr Paul Lo, paderi paroki St Paul Dontozidon untuk menyempurnakan Sakramen Penguatan kepada seramai 78 calon Krisma. Mereka hadir bersama ibu bapa dan penanggung masing-masing.
Upacara ini dimulakan dengan doa rosari yang dipimpin oleh Elizabeth, di bantu oleh lima calon penguatan untuk mendoakan doa rosari di setiap misteri. Dengan kehadiran ahli-ahli MPP dan umat sekitar Gereja serta ahli keluarga dari Gereja Our Lady Queen of Peace, Kobusak dan St John The Baptist, Kopungit telah memenuhi ruang tempat duduk di dalam gereja. Suasana yang berbeza, walaupun ruangan kapasiti yang terbuka tetapi umat masih mengenakan pelitup muka untuk keselamatan diri.
Salah satu calon ditandai dengan minyak Krisma oleh Uskup Agung
Uskup Agung bertanya kepada para calon, adakah anda semua sudah bersedia untuk menjadi tentera Tuhan Yesus, dan bersedia untuk mewartakan khabar baik? Namun uskup menjelaskan bahawa sebagai seorang manusia, kita mempunyai tiga musuh yang paling di takuti dan selalu bersama dalam diri kita.
“Menjadi diri sendiri, adakah anda mengenali diri anda sebenarnya? Walaupun anda mengenali Tuhan, tetapi adakah anda mengenali siapa diri anda dan ada keberanian untuk mnenerima diri sendiri. Manusia kadang kala tidak berani untuk menunjukkan kebenaran pada orang lain, sebaliknya menyembunyikan kelemahan diri dalam hati dan tidak berani serta takut bila orang lain mengenali atau mengetahui akan kelemahan diri,” kata Prelatus itu.
“Ketahuilah, setiap diri kita dicipta menurut rupa dan gambar Tuhan, jika kita percaya kebenaran akan Tuhan mengapa kita tidak kembali pada diri sendiri dan tidak takut akan kelemahan kita. Oleh itu, seharusnya kita memohon dan perlu dorongan bantuan roh kudus agar kita diberi keberanian untuk diri sendiri. Melalui diri sendiri, kita tahu yang kita berada dalam dunia sendiri. Adakah dunia ini tidak bagus atau sebaliknya. Sebab bisikkan dari dunia ini mendorong kita mengikut dari bisikan dunia ini. Apa yang disampaikan pada kita adalah telefon bimbit yang paling bagus dan canggih. Adakah kita sentiasa mendengar atau mengikuti bisikan yang disampaikan oleh Tuhan melalui sabdanya. Adakah kita mengikuti sabdanya melalui bisikan dia atau melalui bisikan dunia ini. Dalam kehidupan harian, kita sepatutnya senantiasa mengikuti bisikan dari Tuhan, malangnya tidak, oleh itu, haruslah kita sekali lagi di pimpin dan di dorong oleh Roh Kudus supaya melalui dorongan Roh Kudus kita boleh mengawal apa yang disampaikan oleh dunia kepada kita dan mengikuti apa yang disampaikan Tuhan pada kita,” jelas Uskup Agung.
Uskup agung menambah, manusia tidak lari dari kekacauan diri yang kuat iaitu iblis. Kerana dia, kita mudah terpedaya dengan bisikan jahat yang selalu membawa kepada kejahatan dan tidak diingini oleh Tuhan. Bisikan yang selalu bermain dalam batin kita melalui telinga dan hati yang mengajak untuk melakukan dan memuaskan nafsu kejahatan dalam diri sendiri.
Maka sekali lagi, kita diseru untuk memohon agar di pimpin oleh roh kudus agar dapat mengawal dan menentang musuh-musuh. Adakah anda mempunyai buah-buah roh kudus dalam diri? Kita sekali lagi diingatkan agar memohon kepada Tuhan supaya kita mendapat buah-buah roh ini. Ini kerana Tuhan Yesus yang telah bangkit dari antara orang mati dan melalui kebangkitanNya, dia telah memberikan roh kudus kepada kita dan semoga ia dapat mengubah kehidupan kita semua.
Selesai upacara penerimaan Minyak Krisma, para penerima Krisma mengadakan sesi bergambar bersama dengan Uskup Agung dan paderi paroki. Ini disusuli dengan makan bersama di dewan paroki dan acara memotong kek dan penyerahan sijil sebelum program ditutup dengan doa.