Gambar peserta program bersama tim program lawatan pastoral di KUK St Joseph Sigapon. Fr David Gasikol (7 dari kiri), Fr Joseph Gapitang (8 dari kiri), Pengerusi MPP Nancy Nelly (9 dari kiri), Pengerusi Zon Jinsumun Ahip (9 dari kiri), Penceramah Imelda Denis (6 dari kiri)
Oleh Caroline Liew
Dec 3 2021
KENINGAU – Seramai 52 umat di Zon Senagang dari lima buah KUK iaitu St Yohanes Penginjil Senagang, St Maria Goretti Gaulan, Our Lady of Lourdes Kitung, St Anne Meninipir menyertai program lawatan pastoral oleh MPP St Francis Xavier Keningau mengenai Gereja Sinodal dan Sto Joseph, yang diketuai oleh Fr David Gasikol.
Program sehari itu berfokus kepada tiga sesi utama yang dikendalikan oleh tiga fasilitator yang berbeza. Sesi pertama adalah mengenai Tahun Santo Joseph, dikendalikan oleh Imelda Denis. Para peserta lebih dapat mengenali peribadi dan meneladani Santo Joseph menerusi perkongsian surat apostolik Bapa Suci Paus Fransiskus, Patris Corde (Dengan Hati Seorang Ayah) yang mengandungi tujuh kualiti penting Santo Joseph.
“Untuk memantapkan hidup keluarga yang bertanggungjawab sebagai pendengar dan pelaku firman Tuhan serta menjadikan Ekaristi teras keluarga, Ibubapa perlu menjadi contoh untuk anak-anak dan mendekatkan diri kepada Tuhan walaupun tidak dapat lakukan secara penuh,” kata Robert Saimin, semasa sesi perkongsian.
Imelda menyampaikan sesi 1 Tahun Santo Joseph (Teladan Keluarga)
Sesi kedua dikendalikan oleh Nancy Nelly, Pengerusi MPP KSFX, yang menyentuh mengenai Program Gereja Sinodal yang bertemakan ‘Komuniti, Partisipasi & Misi’ serta perlaksanaan program utama yang lain iaitu Pan Malaysia Pastoral Convention (PMPC) dan Perhimpunan Umat Katolik (PUKAT) ke 12 yang semuanya saling berkait rapat dan bakal dilaksanakan sehingga ke penghujung tahun 2023.
Pengerusi MPP menyatakan bahawa program gereja sinodal sempena lawatan di Zon Senagang khususnya di KUK St Joseph Sigapon ini merupakan gereja pertama di Keuskupan Keningau yang dilawati selepas Pelancaran Gereja Sinodal oleh Uskup Cornelius Piong pada 17 Oktober lalu.
Menerusi sesi ini, para peserta sedikit sebanyak memahami hala tuju di Keuskupan Keningau dan rasional perlaksanaan program-program berskala besar ini untuk mencapai tujuan berjalan bersama sebagai komuniti dan mendengar suara disemua peringkat termasuklah diperingkat akar umbi dan seterusnya umat lebih bersedia untuk berpatisipasi dalam melaksanakan misi gereja.
Pengerusi MPP Nancy Nelly menyampaikan sesi 2 Gereja Sinodal
“Belia adalah tunjang dan masa depan gereja!” Begitulah penekanan yang dilontarkan oleh Fr David Gasikol semasa memulakan sesi ketiga yang berfokus kepada penglibatan belia dalam gereja berpandukan ensiklik Christus Vivit bersempena dengan sambutan Hari Belia Sedunia yang diraikan pada 21 Nov dengan tema ‘Orang muda bangkitlah dan bersaksi’ (Kis 26:16).
Dalam sesi ini, perbincangan kumpulan kecil yang melibatkan belia dan umat senior telah menghasilkan buah-buah pemikiran yang relevan dengan konteks lokal dan keadaan semasa dunia masa kini dan pada sesi tersebut juga para pemimpin belia di setiap KUK berpeluang menyampaikan suara mereka sesuai dengan pengalaman KUK masing-masing.
Perbincangan dalam kumpulan kecil mengikut KUK
Wakil belia memberi perkongsian mengenai pengalaman iman belia di KUK masing-masing
Sesungguhnya, program lawatan pastoral di KUK St Joseph Sigapon telah memberi banyak pengetahuan serta peneguhan iman buat umat amnya di Zon Senagang yang merindukan suasana kekitaan dan kesatuan melalui program-program seumpama ini, seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi MPP Nancy Nelly semasa ucapan penutupan program, “Pada masa pandemik ini banyak tempat mengalami kesejukan iman, respon sangat baik umat di Zon Senagang ini merupakan mercu tanda bagi saya bahawa di setiap zon merindukan susana seperti ini. Kita semua perlu bekerjasama untuk memantapkan lagi usaha untuk membantu umat di peringkat akar umbi supaya mereka semua sentiasa bersemangat”.
Semasa homili Fr David Gasikol dalam Misa Kudus penutupan program lawatan, beliau berkata, “Melihat kepada ketiga-tiga sesi sepanjang hari ini dan sesuai dengan pembacaanpembacaan yang kita dengar, kita diingatkan dengan satu perkaataan iaitu ‘Tekun’”. Pengerusi Zon Senagang Jinsumun Ahip dalam sesi ucapan turut menyokong perkataan ‘Tekun’ oleh Fr David dan berkata, “Sifat tekun perlu disusuli dengan tindakan kerana tanpa tindakan kita seolah-olah melihat emas dihadapan tetapi jika tidak mengambilnya kita tidak akan dapat apa-apa.”
Menyimpulkan semua sesi yang telah dijalankan, Fr David mengingatkan, “Kita dipanggil khususnya dalam keuskupan kita sebagai umat Allah yang berjalan bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus untuk tetap menjadi umat Allah yang bertekun. Kita diingatkan apa yang berlaku pada dunia masa kini bukanlah yang muktamad bahawa kita tidak mampu meneruskan atau berjalan menuju masa depan, Tuhan itu menyertai dan bertekun bersama kita ,maka kita pun dipanggil untuk tekun bersama Tuhan dan mohon rahmat dan kekuatan dariNya agar dimampukan untuk terus tekun dan setia dalam iman”