Barisan AJK Penganjur Pesta Kaamatan bergambar kenangan bersama Fr Ambrose Atang dan Fr Florian Dompok
Oleh Alfred Tining (SOCCOM KB)
June 17 2022
KOTA BELUD – Perayaan Kaamatan Peringkat Paroki St Edmund kembali dirayakan dalam suasana meriah setelah dua tahun tidak dirayakan kerana Pandemik Covid-19.
Perayaan Kaamatan pada 11 June 2022 yang pada tahun ini dianjurkan oleh umat dari Zon Tambulion di mulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Paderi Paroki Fr Ambrose M Atang, dibantu oleh Fr Florian Dompok.
Dalam homili yang disampaikan oleh Fr Florian, beliau menegaskan bahawa Kaamatan adalah tanda kesyukuran kita dari hasil yang kita dapat sepanjang tahun dan juga peluang kita untuk berkumpul dan memperlihatkan budaya kita melalui pakaian dan makanan tradisi yang kita warisi dari nenek moyang kita.
Dalam pembacaan Injil Luk 12:15-21, umat diajak untuk mengonsikan apa yang kita ada di dunia ini kepada orang lain terlebih yang sangat memerlukan dan jangan ada sikap pentingkan diri sendiri seperti pemuda dalam Injil tersebut.
Dalam ucapan Fr Ambrose pula mengajak semua umat yang hadir merenung dan menghayati tema Kaamatan Paroki Kota Belud pada kali ini iaitu “Guminawo sandad pogun mamasi koubasanan maya Ekaristi” yang bermaksud “meluhuri keaslian alam, menghidupi budaya melalui Ekaristi”
Tema itu membawa kepentingan menyedari betapa seluruh alam dengan keasliannya adalah ciptaan Tuhan. Dan kita manusia adalah ciptaan asli Tuhan yang terbaik kerana bangsa manusia itu diciptakan menurut gambar dan rupa atau wajah Tuhan (kejadian 1:27) maka adalah tanggungjawab manusia itu untuk menjaga dan meluhui martabat manusiawinya sebagai ciptaan Tuhan yang sungguh amat baik.
Fr Ambrose mengakhiri ucapannya dengan bersyukur kepada kebaikan Tuhan di atas kasihNya mengumpul kita bersama-sama pada hari ini secara istimewa iaitu melalui perayaan Ekaristi menyambut Pesta Kaamatan Paroki St Edmund bagi tahun 2022.
Terdahulu ucapan daripada Pengerusi Penganjur Kaamatan iaitu Katekis Victor Paintis Simun mengungkapkan perasaan syukur kepada Tuhan sebagaimana para leluhur kita menyatakan rasa syukur atas pengorbanan “Huminodun” atas pengorbanannya sehingga bangsa kita dapat kelimpahan penghasilan pertanian.
Kat Victor juga berterima kasih kepada kedua-dua paderi dan para sister, ahli-ahli MPP, Liga Wanita, Belia, para katekis dan semua penyelaras keenam-enam Zon dalam Paroki St Edmund.
Turut dialu-alukan kehadiran dalam perayaan ini ialah rombongan dari CADC yang diketuai oleh Dominic Lim, para sister, wakil dari Monffort Youth Training Centre.
Acara lain di dalam gereja ialah pemberkatan benih padi, gimik perasmian dengan kedua-dua paderi mengetam padi dan memalu gong.
Diumumkan bahawa tuan rumah Kaamatan Paroki pada tahun 2023 adalah Zon Kelawat.
Selesai acara dalam gereja, umat beralih ke dewan di mana pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan masakan tradisional, pialaan basaan dan sugandoi.
Perayaan diakhiri dengan doa penutup oleh Fr Ambrose Atang.