83 peserta retret Pendoa Syafaat Profetik bergambar bersama Msgr Nicholas Stephen (Tengah – Kiri) dan Msgr Gilbert Lasius (Tengah – Kanan)
Oleh SPIG, Elne
Nov 17 2022
PAPAR – Seramai 83 orang peserta telah menyertai Retret Pendoa Syafaat Profetik yang ke-3 yang diadakan pada 11 Nov sehingga 13 Nov 2022 bertempat di Pace Bene Retret Centre. Retret ini dianjurkan oleh Sabah Prophetic Intercessors Group.
Para peserta yang hadir merupakan ahli-ahli Pendoa Syafaat Profetik dari pelbagai paroki termasuklah Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu, Tambunan, Keningau, Ranau, Sipitang, Beaufort, Papar, Beluran, Inanam, dan juga Labuan.
Ahli-ahli Pendoa Syafaat Profetik atau Malaysia Prophetic Intercessors Group (MPIG) bermula sejak awal tahun 2020 iaitu sewaktu musim pandemik Covid-19, yang merupakan gabungan Kumpulan Pendoa Syafaat Profetik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Kumpulan Belia. Kumpulan Pendoa Syafaat Profetik Malaysia berada di bawah naungan CHARIS Malaysia sejak Ogos 2021 dan kini Kumpulan itu juga adalah sebahagian dari CHARIS Intercession Commission.
Penceramah jemputan retret Pendoa Syafaat Profetik. (Mengikut arah jam dari kiri) Msgr Nicholas Stephen,Anthony Lim, Maurice Awit dan Msgr Gilbert Lasius
Retret ini pertama kali diadakan secara fizikal, di mana retret yang pertama dan kedua telah diadakan secara maya menerusi Zoom. Dalam retret, seramai empat penceramah telah dijemput iaitu Msgr Nicholas Stephen, Msgr Gilbert Lasius, Maurice Awit dan Anthony Lim. Kesemua penceramah juga merupakan ahli pendoa syafaat profetik.
Antara tajuk ceramah yang disampaikan adalah (1) Berakar, bertumbuh dan berbuah menjadi Pendoa Syafaat Profetik yang Efektif, (2) Diutus menjadi Garam dan Terang Dunia, (3) Panggilan Hidup dalam Kekudusan, (4) Panggilan Menjadi Pendoa Syafaat Profetik, (5) Peperangan Rohani seorang Pendoa Syafaat Profetik dan (6) Kepentingan Doa Syafaat Profetik di Masa Kini.
Antara isi penting yang disampaikan dalam ceramah-ceramah tersebut adalah betapa pentingnya doa syafaat profetik dalam kehidupan kita, di mana ianya membawa kita untuk berdoa mengikut kehendak Tuhan, ia membiarkan Roh Kudus berdoa melalui kita, membawa perjuangan doa ke alam rohani dan biarkan Tuhan mengambil alih, dan mengajar kita untuk menantikan Tuhan.
Pesan-pesan Tuhan diungkap secara khusus dan dapat dinyatakan kepada seorang pendoa.
Turut disampaikan dalam ceramah adalah apabila kita setia dan terus bertekun di dalam doa, maka kehidupan rohani kita akan bertumbuh dan menjadi kuat. Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita dapat menghadapinya dengan tenang kerana kita keturunan keluarga Tuhan (Kis 17:29), dan mempunyai hubungan dengannya sebagai anak-anaknya (1 Yoh 3:1) kerana tidak ada yang mustahil bagi Tuhan (Luk 1:37).
Para peserta digalakkan untuk teruskan pelayanan dari pelbagai cara pelayanan terutama di dalam doa syafaat profetik.