Fr Federick Raymond bergambar bersama 142 penerima Komuni Suci pertama
Oleh Clarissa Mijin, Soccom HNCT
Oct 22 2022
TERAWI – Setelah dua tahun tiada kegiatan di gereja disebabkan pandemik Covid-19, akhirnya pada 25 Sept 2022, seramai 142 pelajar menerima Komuni Suci Pertama di Gereja Holy Nativity Terawi. Upacara itu telah disempurnakan oleh Paderi Paroki Fr Federick Raymond.
Para calon ini merupakan dari kelas tahun 2020, 2021 dan tahun ini 2022.
Pelajar-pelajar ini sudah sekian lama menunggu untuk menyambut, mereka dahagakan tubuhNya. Seringkali mereka bertanya kepada guru pembimbing, bilakah harinya mereka boleh menerima tubuh dan darah Kristus, memandangkan mereka sudah lama belajar dalam Pertemuan Minggu Gembira (PMG).
Dalam hal ini, pembimbing pula bertanya kepada para pelajar, “adakah kamu semua benar-benar sudah bersedia? Dan mereka katakan sudah bersedia.
Semasa Misa Kudus penyambutan Komuni, kegembiraan dan kesyukuran jelas kelihatan disetiap wajah mereka apabila mereka menjawab “Amen” dalam upacara Komuni itu.
Sebulan sebelum upacara tersebut dijalankan, para pelajar terlebih dahulu menduduki ujian Sakramen Komuni.
Fr Federick dalam homilinya, menegaskan kepada semua ibu bapa yang hadir dalam Misa Kudus itu, bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar iaitu membawa anak-anak ke Misa Kudus kerana inilah yang dinanti-nantikan oleh anak mereka selama ini. “Adalah kesilapan besar bagi ibu bapa jika mereka tidak membawa anak-anak mereka ini ke gereja,” kata Fr Federick.
Perjamuan Ekaristi diakhiri dengan makan bersama secara ‘potluck’, upacara pemotongan kek bersama penerima komuni dan penerimaan sijil di Dewan St Joseph.